Kerajaan lancar tabung kemanusian YWM bantu rakyat Palestin

Iklan
Menteri Di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan (dua, kanan) melancarkan tabung Kemanusiaan Yayasan Waqaf Malaysia pada Himpunan Malaysia bersama Palestin di Dataran Putrajaya malam ini. Foto Bernama.

PUTRAJAYA - Tabung Bantuan Kemanusiaan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dilancarkan hari ini dengan kutipan dana permulaan berjumlah RM3.8 juta bagi menggerakkan kerja kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

Pelancaran tabung berkenaan diadakan sempena penganjuran Himpunan Malaysia Bersama Palestin 2026 di Dataran Putrajaya di sini bersempena dengan Hari Solidariti Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin.

Iklan
Iklan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata, dana tabung yang telah dikumpulkan itu akan diagihkan berdasarkan program dan projek bantuan kemanusiaan yang telah dirancang.

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Ops Ihsan bagi memastikan penyaluran bantuan berjalan lancar.

Iklan

"Kita mahu memperkukuh lagi aspek tata kelola dan mendokumentasikan setiap sumbangan dengan sebaiknya.

"Ini penting bagi membuktikan profesionalisme serta ketelusan bahawa NGO di bawah Ops Ihsan adalah beramanah dalam melaksanakan semua sumbangan daripada para penderma dan penginfak di negara ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai sasaran kutipan tabung berkenaan, beliau berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang sasaran kutipan namun menegaskan ia akan disalurkan sepenuhnya kepada rakyat Palestin.

"Tiada sasaran (tabung) tetapi projeknya (untuk rakyat Palestin) terlalu banyak. Insya-ALLAH, kita akan melihat bagaimana untuk membangunkan dan membantu mengikut keperluan,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, Tabung Bantuan Kemanusiaan YWM adalah wadah untuk menghimpunkan sumbangan rakyat Malaysia dalam membantu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan, khususnya rakyat Palestin.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, kaum dan latar belakang, termasuk sektor korporat, untuk bersama-sama menjayakan inisiatif ini,” katanya. - Bernama