PUTRAJAYA – Kempen pematuhan piawaian keselamatan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Berhad produk perlu diperluas kepada penjual, termasuk di platform e-dagang bagi memastikan hanya barangan berkualiti dan selamat ditawarkan kepada pengguna.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, usaha itu perlu bergerak seiring dengan kempen 'Ada SIRIM Baru Beli' yang menggalakkan pengguna memilih produk yang memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
"Dalam mempromosikan idea 'Ada SIRIM Baru Beli', saya juga harap kita ada kempen seluas mungkin untuk memastikan 'Ada SIRIM Baru Jual'.
"Ia penting untuk kita pastikan penjual atau platform e-dagang mematuhi piawaian-piawaian SIRIM dalam memastikan keselamatan produk," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Karnival Ada SIRIM Baru Beli di IOI City Mall di sini pada Ahad.
Hadir sama, Pengerusi SIRIM Berhad, Datuk Ir Dr Khairol Anuar Mohamad Tawi; Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM, Nik Sazali Nik Hussin dan Wakil Pengurusan Suruhanjaya Tenaga, Ir Hafiza Yob.
Chin Tong turut berharap pengendali platform e-dagang dapat bekerjasama memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga ditawarkan di pasaran negara ini.
Menurutnya lagi, penyertaan lebih ramai penjual dalam kempen 'Ada SIRIM Baru Jual' mampu meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab mereka terhadap keselamatan produk yang dipasarkan.
"Sekiranya jual produk tanpa SIRIM, apabila kebakaran dan sebarang insiden berlaku, mereka perlu mempunyai tanggungjawab moral.
"Kita ingin memastikan ada kesedaran dalam kalangan penjual serta kerjasama daripada platform e-dagang bagi memastikan hanya produk yang diiktiraf atau mematuhi piawaian SIRIM dan Suruhanjaya Tenaga dijual," katanya.