Raja Puan Muda Kedah kongsi duka keluarga kehilangan anak

Iklan
Che Puan Muda Zaheeda (kiri) berkenan menyantuni ahli keluarga pelajar yang meninggal dunia dalam lawatan kebajikan baginda di Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

SHAH ALAM - Keprihatinan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff terhadap kesejahteraan emosi keluarga yang berdepan kehilangan anak dizahirkan menerusi lawatan kebajikan baginda ke sebuah kediaman di Cheras, Kuala Lumpur pada Ahad.

Baginda yang juga Penaung Diraja Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) berkenan menziarahi keluarga seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) yang meninggal dunia pada 18 November lalu.

Iklan
Iklan

MMHA menerusi kenyataan memaklumkan, lawatan kebajikan berkenaan bertujuan menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral kepada ibu bapa Allahyarham.

Dalam lawatan itu, baginda juga berkenan menzahirkan rasa simpati serta mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Iklan

Baginda turut mendoakan agar seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian tersebut.

Pihak MMHA juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan bantuan sokongan kaunseling dan psikologi kepada ahli keluarga Allahyarham.

Iklan

Pada 18 November lalu, media melaporkan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah SBP di Kuala Kangsar, Perak ditemukan meninggal dunia.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bangunan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin ketika itu mengesahkan kejadian tersebut.