Lima tadika Islam Kedah jadi perintis PAIM

Iklan
Raja Muda Kedah (tengah) berkenan menyempurmakan Majlis Haflah Atfal Tadika Islam Kali Ke-6 Peringkat Negeri Kedah 2026M/1448H pada Ahad.

ALOR SETAR – Lima Tadika Islam di Kedah dipilih sebagai pusat rintis pelaksanaan Program Abdullah Ibnu Mas’ud (PAIM) bagi melahirkan generasi kanak-kanak pintar al-Quran, cemerlang akademik dan mempunyai sahsiah terpuji.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Syeikh Mohamad Subhi Abdullah berkata, program khas yang mula dilaksanakan pada tahun ini bertujuan memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak menerusi penguasaan ilmu akademik dan al-Quran secara seimbang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lima pusat Tadika Islam berkenaan terletak di daerah Kota Setar, Langkawi dan Kuala Muda.

"Setiap pusat rintis turut dibekalkan kemudahan televisyen pintar (Smart TV) bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan menerusi penggunaan bahan bantu mengajar yang lebih interaktif.

Iklan

"Pelaksanaan modul ini akan menjadi penanda aras dalam melahirkan anak-anak pratahfiz yang berkualiti.

"Harapannya akan lahirlah seorang murid yang pintar akademik, celik al-Quran, unggul sahsiahnya serta cemerlang di dunia dan di akhirat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Haflah Atfal Tadika Islam Kali Ke-6 Peringkat Negeri Kedah 2026M/1448H yang disempurnakan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin di sini pada Ahad.

Mohamad Subhi berkata, pendidikan awal kanak-kanak perlu memberi penekanan bukan sahaja kepada kecemerlangan intelek, malah turut merangkumi pembentukan akidah, penghayatan agama, akhlak serta keseimbangan mental, emosi dan jasmani.

Menurutnya, JHEAIK juga menyasarkan lahirnya generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi mampu menguasai bacaan ayat suci al-Quran dengan fasih dan baik.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 49 Tadika Islam beroperasi di seluruh Kedah ketika ini dengan kekuatan 169 guru dan pembantu guru serta seramai 1,762 murid.