KANGAR - Kerajaan negeri Perlis bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,500 kepada penjawat awam negeri, termasuk kakitangan kontrak, yang akan dibayar secara berperingkat pada Januari dan Mac 2027.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, pemberian bantuan itu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi penjawat awam dalam memastikan kelancaran pentadbiran negeri.
"Di sebalik kecemerlangan pentadbiran negeri, berdirinya insan-insan yang bekerja dengan penuh amanah dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat negeri Perlis,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Perlis 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Kompleks Seri Putra di sini hari ini.
Abu Bakar berkata, bayaran peringkat pertama akan disalurkan pada Januari depan bagi meringankan beban perbelanjaan penjawat awam pada awal tahun, khususnya bagi persiapan persekolahan anak-anak.
Bayaran peringkat kedua pula akan disalurkan pada Mac 2027 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.- Bernama