SHAH ALAM - Tindakan tegas perlu diambil terhadap keseluruhan rantaian sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk ejen dan majikan yang terlibat dalam pengambilan migran berkenaan.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, langkah itu penting bagi memastikan kegiatan jenayah tersebut tidak terus berleluasa.
Beliau dalam masa sama turut menegaskan, kawalan di sempadan negara juga perlu terus diperketat bagi membendung aktiviti penyeludupan berkenaan.
"Semalam, 11 PATI terdiri daripada tujuh warga Myanmar dan empat warga India, ditahan bersama dua tekong darat di Tumpat, Kelantan.
"Kedua-dua tekong didapati positif dadah jenis syabu. Kesemua PATI ini dipercayai membayar antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang kepada ejen dan dijanjikan pekerjaan di Kuala Lumpur.
"Usaha pasukan keselamatan dalam membanteras kegiatan penyeludupan ini amat dihargai. Kawalan di sempadan negara mesti terus diperketat," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sinar Harian pada sebelum ini melaporkan, seramai 11 PATI dipercayai sanggup membayar antara RM1,000 hingga RM6,000 seorang kepada ejen untuk memasuki Malaysia melalui pangkalan haram di Tanjung, Tumpat, sebelum dijanjikan pekerjaan di Kuala Lumpur.
Kegiatan itu terbongkar menerusi dua operasi berasingan Op Taring Wawasan Kelantan yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara di Kampung Kok Serai, Tumpat, kira-kira pukul 6.15 pagi dan 6.30 pagi Sabtu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing dipercayai bertindak sebagai transporter bersama enam PATI yang menaiki sebuah kereta jenis sedan berwarna emas.