Tular wang tunai dalam beg plastik digantung pada tombol pintu rumah

Iklan
Tular hantaran di media sosial bersama gambar beg plastik lutsinar berisi wang kertas, termasuk wang kertas RM50, yang didakwa digantung pada tombol pintu sebuah rumah.

KUALA LUMPUR - Tiada laporan polis diterima setakat ini berkaitan taktik penipuan tular di media sosial melibatkan sejumlah wang tunai digantung pada tombol pintu rumah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi sedemikian.

Sebelum ini, tular hantaran di media sosial gambar beg plastik lutsinar berisi wang kertas, termasuk wang kertas RM50, yang didakwa digantung pada tombol pintu sebuah rumah.

Iklan

Hantaran itu mendakwa taktik itu digunakan sindiket penipuan dan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long bagi memperdaya pemilik rumah.

Jelas dakwaan itu, penjenayah akan merakam tindakan pemilik rumah mengambil wang berkenaan sebelum menggunakan rakaman itu sebagai bukti kononnya mangsa bersetuju menerima pinjaman wang.

Iklan

Pemilik rumah kemudiannya dikatakan akan diugut supaya membayar semula wang berkenaan bersama kadar faedah yang tinggi.

Selain itu, taktik sama turut didakwa digunakan untuk mengenal pasti sama ada sesebuah rumah berpenghuni atau tidak sebelum kegiatan pecah rumah dilakukan.

Mesej tular itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau membawa masuk wang berkenaan ke dalam rumah.

Sebaliknya, orang ramai disarankan merakamkan penemuan itu sebagai bukti, memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta memaklumkan kejadian kepada polis dan jiran terdekat.