SHAH ALAM - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ditempatkan kembali dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, beliau yang berpangkat Komisioner Polis (CP) bertukar ke Urus Setia Ketua Polis Negara (Perancangan Strategik/Perhubungan Antarabangsa) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berkuat kuasa pada 24 November.
Sumber terdekat ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
"Ya, betul," katanya ringkas ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan pengesahan rasmi daripada Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara.
21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam kejadian September lepas.
Kemudian, pada 25 November Mohd Shuhaily tiba sekali lagi di Mahkamah Majistret Sepang bagi sebutan semula kes.
Sebagai rekod, Mohd Shuhaily sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Polis Kuala Lumpur sebelum mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Beliau kemudian dipinjamkan ke AKPS sebagai ketua pengarah pada 1 Julai tahun lalu.