KUALA LANGAT - Paras air Sungai Langat di Bukit Changgang melepasi tahap bahaya apabila mencatatkan bacaan 4.24 meter, iaitu 0.04 meter melebihi paras bahaya 4.20 meter, setakat jam 1.45 tengah hari Ahad.
Bagaimanapun, trend paras air sungai berkenaan menunjukkan penurunan pada masa sama, manakala tiada hujan direkodkan di stesen berkenaan.
Berdasarkan maklumat pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada 29 November, sebanyak 11 lokasi di Selangor menunjukkan perkembangan berbeza dari segi paras air sungai dan taburan hujan.
Di Sungai Kapar Kechil, Kampung Perepat, Kapar, Klang, paras air mencatatkan 0.72 meter, iaitu melepasi paras amaran 0.60 meter sebanyak 0.12 meter.
Trend paras air di lokasi itu pula tidak berubah, manakala tiada hujan direkodkan setakat jam 1.45 tengah hari.
Sementara itu, Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor mencatatkan paras air 17.87 meter dan berada pada tahap normal, namun menunjukkan trend meningkat setakat jam 1.30 tengah hari.
Sungai Bernam di Tanjung Malim, Hulu Selangor turut berada pada paras normal dengan bacaan 36.97 meter, tetapi trend air sungai berkenaan juga meningkat.
Di Sungai Selangor, Ampang Pecah, Hulu Selangor, paras air direkodkan pada 4.30 meter dan masih berada pada tahap normal, namun menunjukkan trend meningkat.
Dari segi taburan hujan, Taman Templer, Gombak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 31.5 milimeter pada tahap lebat setakat jam 1.45 tengah hari.
Felda Gedangsa, Hulu Selangor pula merekodkan taburan hujan sebanyak 30 milimeter pada tahap sederhana setakat jam 1.30 tengah hari.
Selain itu, Sungai Bernam di Jambatan S.K.C (F2), Hulu Selangor mencatatkan taburan hujan 14 milimeter pada tahap sederhana, manakala Empangan Sungai Selangor U/S (F2) merekodkan 16 milimeter.
Sungai Bernam di Jambatan SKC merekodkan taburan hujan 10.5 milimeter, manakala Sungai Bernam di Tanjung Malim mencatatkan 11.5 milimeter.
Sungai Selangor di Ampang Pecah pula merekodkan taburan hujan 20.5 milimeter, sementara Ladang Elmina, Kuala Selangor mencatatkan 15 milimeter dan SMK SS 17, Petaling merekodkan 10.5 milimeter.
Semua bacaan hujan berkenaan berada pada tahap sederhana.