MPV terbabas, polis temukan peralatan pecah rumah

Iklan
Kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang pada Sabtu membawa kepada penemuan beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah. - Foto: PDRM

GUA MUSANG – Kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 65, Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Sabtu membawa kepada penemuan beberapa peralatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah.

Peralatan berkenaan ditemukan hasil pemeriksaan lanjut polis ke atas sebuah Toyota Estima yang terlibat dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Nissan Grand Livina yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kuala Krai cuba mengelak sebelum bergesel dengan Toyota Estima yang sedang memotong dari arah bertentangan.

“Akibat pergeseran itu, pemandu Nissan Grand Livina hilang kawalan sebelum kenderaannya terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar penghadang jalan konkrit,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, pemandu Nissan Grand Livina hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Estima meninggalkan lokasi kejadian.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 12(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan pemandu Toyota Estima yang terlibat.

Iklan

Tambahnya, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 bagi membantu siasatan.