Himpunan Rakyat Benci Rasuah 3.0 kemuka lima tuntutan kepada kerajaan

Iklan
Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 3.0 mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan menerusi himpunan yang diadakan di ibu negara pada Sabtu.

KUALA LUMPUR – Membanteras rasuah tanpa memilih bulu dan melaksanakan reformasi institusi antara lima tuntutan utama dikemukakan Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 3.0 kepada kerajaan menerusi himpunan yang diadakan di ibu negara pada Sabtu.

Himpunan menyaksikan para peserta berarak dari hadapan pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka bagi menyuarakan tuntutan berkaitan isu integriti, ketelusan dan tadbir urus negara.

Iklan
Iklan

Pengerusi Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), Brendon Gan berkata, himpunan berkenaan merupakan kesinambungan edisi 1.0 dan 2.0 yang diadakan tahun lalu susulan ketiadaan maklum balas konkrit daripada pihak berkuasa terhadap tuntutan yang dikemukakan sebelum ini.

"Kerajaan boleh bertukar, Perdana Menteri boleh bertukar dan parti yang memegang kuasa juga boleh bertukar, tetapi prinsip bahawa kuasa mesti dipertanggungjawabkan tidak boleh berubah.

Iklan

"Jika kerajaan serius membanteras rasuah, siasatan mesti dilakukan tanpa memilih bulu. Begitu juga reformasi institusi yang perlu dilaksanakan dan bukannya sekadar dijanjikan," katanya.

Mengulas lanjut, Brendon berkata, antara tuntutan dikemukakan termasuk menarik balik bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap semakan kehakiman Badan Peguam Malaysia serta menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah sementara menunggu keputusan mahkamah.

Iklan

Himpunan menyaksikan para peserta berarak dari hadapan pusat beli-belah Sogo menuju ke Dataran Merdeka bagi menyuarakan tuntutan berkaitan isu integriti, ketelusan dan tadbir urus negara.

Jelasnya, sekretariat turut mendesak pemisahan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya serta menghalang pesalah rasuah daripada memegang jawatan awam atau politik.

"Kami menuntut supaya semua individu yang disyaki terbabit dalam rasuah disiasat dan didakwa tanpa mengira latar belakang politik, termasuk mereka yang berada dalam lingkungan kuasa pentadbiran semasa.

"Kami turut menuntut supaya Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dipercepatkan untuk dibentangkan serta pengisytiharan harta secara berkala oleh ahli politik dan penjawat awam kanan juga perlu diwajibkan, selain disertakan mekanisme pemantauan," katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, sekretariat turut menuntut penjelasan terbuka berhubung beberapa isu dan kes berprofil tinggi termasuk laporan Bloomberg berkaitan dakwaan 'mafia korporat' serta pemilikan saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

"Kami menuntut status perkembangan siasatan kes membabitkan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perbicaraan kes Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Lim Guan Eng serta isu tadbir urus membabitkan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak diperjelaskan.

"Kes berprofil tinggi tidak boleh dibiarkan tergantung tanpa penyelesaian muktamad sehingga menimbulkan persepsi bahawa kedudukan politik seseorang boleh mempengaruhi perjalanan proses keadilan," katanya.