SHAH ALAM - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) memohon maaf atas kekhilafan dalam segmen persembahan hiburan semasa Majlis Konvokesyen Ke-23 universiti itu baru-baru ini.
UniKL berkata, pihaknya akan membentangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam masa terdekat.
“Majlis Konvokesyen adalah upacara kemuncak pengiktirafan ilmu yang wajar dipelihara adab dan kesantunannya.
“Oleh yang demikian, UniKL memohon maaf atas kekhilafan tersebut dan akan membentangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada pihak Mara dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegur penganjuran Majlis Istiadat Konvokesyen UniKL yang berkonsepkan hiburan ala konsert kerana dianggap tidak wajar dan tidak beradab.
Menerusi perkongsiannya di media sosial, beliau berkata, majlis konvokesyen merupakan upacara kemuncak pengiktirafan dan pemartabatan ilmu yang perlu dipelihara nilai kesopanan serta adabnya.
Mengulas lanjut, UniKL berkata, majlis konvokesyen perlu mengekalkan nilai adab dan kesantunan sebagai upacara kemuncak pengiktirafan ilmu.
Pihak universiti itu juga mengakui kekhilafan berkenaan dan akan mengambil langkah penambahbaikan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
UniKL turut merakamkan tahniah kepada seluruh graduan Konvokesyen Ke-23 atas kejayaan menamatkan pengajian.
“Sebagai sebuah institusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sebahagian daripada Kumpulan Mara Corp, UniKL memandang serius perkara ini dan bertanggungjawab sepenuhnya atas teguran oleh Asyraf Wajdi.
“Kejayaan mereka adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan bertahun-tahun, dan kekal sebagai pencapaian yang dibanggakan,” katanya.