Warga emas maut kereta terbabas masuk gaung

Iklan
Keadaan kereta dinaiki mangsa remuk pada bahagian hadapan dan bumbung selepas terbabas di Kilometer 17, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Selendang, Lipis pada malam Jumaat. Foto IPD Lipis.

LIPIS – Seorang wanita warga emas maut manakala dua anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 17, Jalan Lipis–Merapoh berhampiran Kampung Selendang di sini pada malam Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam itu, mangsa berusia 66 tahun yang duduk di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dipandu anak perempuan mangsa berusia 29 tahun bersama seorang lagi anak lelakinya berusia 31 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang.

Kereta dinaiki tiga beranak itu terbalik di dalam gaung selepas terbabas dan melanggar tiang elektrik dalam kejadian yang meragut nyawa seorang warga emas. Foto IPD Lipis

Iklan

"Kesemua mangsa dalam perjalanan dari Tumpat, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.

"Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik sebelum terjatuh ke dalam gaung," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut, penumpang belakang mengalami kecederaan patah pinggul manakala pemandu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan pihak polis

"Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati dan berhemah, selain memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.