BALING - Polis mengenal pasti dalang utama sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) namun individu terbabit berjaya meloloskan diri ketika operasi tangkapan dilakukan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha memburu suspek tersebut sedang giat dilakukan pihak berkuasa.
"Kita dah kenal pasti dalang utama tetapi apabila tangkapan dibuat, dia bolos. Bagaimanapun, dia dalam radar pengesanan polis.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Kupang di sini.
Sebelum ini, media melaporkan, jumlah individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan meningkat kepada 18 orang termasuk lapan pegawai serta anggota TUDM.
Tangkapan terbaharu membabitkan seorang lagi pegawai TUDM bersama empat orang awam hasil risikan berterusan dan soal siasat terhadap 13 suspek yang ditahan sebelum ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan susulan itu dilakukan bagi mengenal pasti dalang utama serta individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai kaitan dengan rangkaian dadah di Segitiga Emas memandangkan sebahagian besar bekalan dadah yang memasuki negara ini berasal dari kawasan tersebut.
Menurutnya, hasil siasatan turut membolehkan polis mengenal pasti peranan setiap individu dalam rangkaian sindiket berkenaan, termasuk pembiaya kewangan, perancang utama, pengangkut, penghantar, pemberi maklumat dan penyelaras kegiatan.
Katanya, siasatan masih diperluaskan bagi mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan dadah itu.
"Bekalan dadah ke negara kita sebahagian besarnya memang masuk daripada Segitiga Emas.
"Bagaimanapun, biarlah bahagian narkotik menyelesaikan tugasan mereka kerana mereka sedang meluaskan jaringan untuk mengesan beberapa lagi pemain yang terbabit," katanya.