SHAH ALAM – Literasi psikologi dan peningkatan kompetensi dalam kalangan guru antara lima teras yang dicadangkan Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) bagi pelaksanaan pendidikan kesihatan mental di sekolah.
Presiden PSIMA, Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pendidikan kesihatan mental perlu diterapkan mengikut peringkat perkembangan murid.
"Teras pelaksanaan lain ialah pemerkasaan perkhidmatan psikologi dan kaunseling di institusi pendidikan serta pelaksanaan saringan psikologi, pencegahan dan intervensi awal secara sistematik serta beretika.
"Selain itu, perlu penglibatan aktif ibu bapa, keluarga dan komuniti dalam membangunkan kesejahteraan psikologi kanak-kanak," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Kata Shazli Ezzat, pihaknya menyambut baik cadangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah.
Beliau berkata, inisiatif itu merupakan langkah strategik dalam membangunkan Infrastruktur Psikologi Negara serta pelaburan jangka panjang terhadap pembangunan modal insan Malaysia.
"Jika anak-anak kita diajar membaca, menulis dan mengira sejak kecil, mengapa mereka tidak turut diajar mengenali diri, memahami emosi, mengurus pemikiran dan mengawal tingkah laku?
"Pendidikan psikologi dan kesihatan mental tidak seharusnya hanya tertumpu kepada gangguan mental, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan potensi diri, kecerdasan emosi, daya tahan psikologi, empati, kemahiran sosial dan pembentukan sahsiah," katanya
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut menekankan kepentingan penglibatan ahli psikologi dalam pembangunan kurikulum, latihan, intervensi serta penilaian keberkesanan pelaksanaan pendidikan berkenaan berdasarkan bukti saintifik.
Menurut Shazli Ezzat, PSIMA bersedia bekerjasama dengan KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta agensi berkaitan bagi merealisasikan usaha tersebut.
"Kita tidak seharusnya menunggu anak-anak mengalami masalah psikologi sebelum mengajar mereka cara menjaga kesihatan mental.
"Pencegahan perlu bermula melalui pendidikan, bukan setelah berlakunya krisis dan kecemerlangan akademik sahaja tidak mencukupi tanpa kesejahteraan psikologi," katanya.