Lelaki rugi lebih RM23,000 terperangkap iklan Honda CR-V

Iklan
Mangsa telah membuat pembayaran ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM23,580. Gambar hiasan

TANJUNG MALIM - Seorang lelaki kerugian lebih RM23,000 selepas menjadi mangsa penipuan urusan jual beli kereta yang dilihat menerusi laman Facebook.

Mangsa berusia 53 tahun itu tertarik dengan iklan penjualan sebuah kereta Honda CR-V tahun 2021 pada harga RM29,000 sebelum bersetuju untuk membelinya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Khalid Mohamad berkata, mangsa kemudian menghubungi individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp sebelum diminta membuat beberapa bayaran atas alasan wang pendahuluan, insurans penghantaran dan cagaran.

Menurutnya, mangsa telah membuat pembayaran ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM23,580.

Iklan

"Mangsa kemudiannya pergi ke alamat yang diberikan individu itu bagi menuntut semula wang yang telah dibayar.

"Bagaimanapun, alamat tersebut didapati tidak wujud sebelum mangsa tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan kenderaan pada harga tidak munasabah.

"Buat semakan identiti penjual serta nombor akaun bank menerusi portal Semak Mule PDRM sebelum melakukan sebarang pembayaran," katanya.

Mangsa penipuan dalam talian turut dinasihatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dan membuat laporan polis.