Seludup dadah guna aset tentera: Kabinet setuju perketat keselamatan pangkalan udara TUDM - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution (depan, dua dari kanan) ketika Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani JIM Tahun 2026 di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Mukim Kupang, Baling pada Sabtu.

BALING - Jemaah Menteri bersetuju memperketatkan kawalan keselamatan di semua pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) susulan pendedahan kegiatan sindiket penyeludupan dadah yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan untuk menjalankan kegiatan haram itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau membentangkan perkembangan siasatan kes itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah berkenaan merupakan sebahagian usaha memperluaskan kawalan keselamatan yang sebelum ini tertumpu kepada pintu masuk negara melalui laluan darat, laut dan udara.

"Jemaah Menteri bersetuju dengan syor yang dibentangkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya langkah berkenaan dilaksanakan segera.

Iklan

"Bagaimanapun, prosedur operasi standard (SOP) kawalan keselamatan di pangkalan udara tentera tidak sama seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia membabitkan lokasi strategik dan aset ketenteraan," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tahun 2026 di Masjid Al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Mukim Kupang di sini.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan Saifuddin Nasution memaklumkan, tiga tan dadah disyaki jenis syabu bernilai RM156 juta dikenal pasti telah diseludup keluar melalui dua pangkalan TUDM di Sabah dan Labuan sejak Ogos 2024.

Kegiatan tersebut dikesan menerusi risikan berterusan PDRM yang mengenal pasti 21 transaksi penyeludupan dadah dilakukan melalui kedua-dua pangkalan berkenaan.

Daripada jumlah itu, 14 transaksi dari Pangkalan TUDM Labuan melibatkan 1.2 tan dadah bernilai RM63 juta, manakala tujuh lagi melalui Pangkalan TUDM Tawau, Sabah membabitkan 1.8 tan dadah bernilai RM93 juta.

Mengulas perkara tersebut beliau berkata, pelaksanaan kawalan keselamatan itu akan diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pertahanan namun penyelarasannya akan dilakukan bersama KDN.