KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak akan membuka lima Bilik Gerakan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan rasuah serta salah guna kuasa sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
SPRM dalam kenyataan berkata, bilik gerakan berkenaan akan beroperasi 24 jam bermula hari penamaan calon hingga hari pengundian pada 12 Disember.
Iklan
Iklan
“Lima lokasi itu Pejabat SPRM Sarawak di Kuching serta cawangan SPRM di Sibu, Miri, Bintulu dan Limbang.
“Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan menerusi e-mel rasmi aduan.prnsarawak@sprm.gov.my atau menghubungi Hotline Bilik Gerakan di talian 011-60700794,” katanya.
SPRM memberi jaminan setiap maklumat dan aduan yang diterima akan diteliti serta diambil tindakan sewajarnya secara profesional, telus dan mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.
"SPRM juga ingin mengingatkan calon serta parti politik yang bertanding agar tidak melakukan perbuatan yang boleh melanggar undang-undang termasuk peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 (Akta 694) serta Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5)," katanya.