FAM gesa kepimpinan baharu KAFA kembalikan zaman 'emas' Kelantan

Iklan
Ab Ghani (dua dari kanan) semasa hadir pada Kongres Luar Biasa KAFA di Kota Bharu pada Khamis. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) agar memberi tumpuan penuh untuk memajukan kembali aktiviti serta perancangan bola sepak di negeri itu.

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, Kelantan memiliki sejarah yang kuat apabila pernah melahirkan ramai bintang bola sepak negara dan menjadi antara pasukan terkuat dalam liga tempatan menerusi kejayaan menjuarai Piala Malaysia serta Piala FA.

Iklan
Iklan

"Ini yang kita harapkan agar semua pihak pemegang taruh di Kelantan memainkan peranan kembali untuk memeriahkan bola sepak negeri ini," katanya ketika ditemui pada Kongres Luar Biasa KAFA di sini pada Khamis.

Mengulas barisan kepimpinan baharu KAFA yang diterajui Naib Presiden FAM, Datuk Rosmadi Ismail, Ab Ghani memberitahu, barisan tersebut menampilkan pelbagai peringkat umur dengan majoriti pemimpin muda berusia 40 tahun ke bawah.

Iklan

Jelasnya, komposisi itu dilihat sebagai petanda positif untuk mewujudkan pelapis bagi meneruskan kesinambungan bola sepak Kelantan, selain memerlukan sokongan orang lama untuk mengembalikan kegemilangan negeri tersebut.

"Ini satu gambaran yang amat baik untuk mewujudkan pelapis meneruskan kesinambungan sukan bola sepak negeri Kelantan.

Iklan

"Diharapkan mereka dapat sokongan daripada orang-orang lama di Kelantan membantu mereka dalam mengembalikan semula kegemilangan Kelantan, insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Ab Ghani memaklumkan bahawa selepas Kelantan, FAM akan beralih ke Perlis bagi cuba menghidupkan kembali bola sepak negeri itu yang kini digantung oleh FAM.

Tambah beliau, negeri-negeri lain berada dalam keadaan baik dan tidak bermasalah.

"Hanya Kelantan dan Perlis yang berdepan situasi ketiadaan kepimpinan dan belum dapat melaksanakan perancangan serta terlibat dalam bola sepak negara," katanya.