KUANTAN- Kerajaan Negeri Pahang tidak akan mengabaikan kebajikan mangsa banjir di negeri ini sekiranya bencana itu berulang dalam tempoh tiga bulan.
Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan sentiasa memantau keadaan mangsa serta mengemukakan cadangan dan pandangan kepada kerajaan negeri berhubung keperluan bantuan.
"Sekiranya mangsa benar-benar memerlukan bantuan susulan, kerajaan negeri akan mempertimbangkan pemberian bantuan sewajarnya.
Beliau berkata, ketetapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bantuan hanya diberikan sekali dalam tempoh tiga bulan.
"Sekiranya berlaku banjir lagi dalam tempoh itu, agensi tersebut tidak akan memberikan bantuan tambahan.
"Tapi kita kerajaan negeri akan terus memastikan kebajikan mangsa banjir terpelihara dan membantu mereka sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan V Arumugam (BN-Sabai) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Menjawab soalan berhubung kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh dikemukakan V Arumugam sebelum itu, Wan Rosdy berkata, seramai lebih 6,000 anggota daripada 14 jabatan dan agensi diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Munson Timur Laut (MTL) kali ini.
Menurutnya, 1,205 aset darat serta 222 aset air diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menyokong operasi pemindahan, menyelamat dan bantuan kecemasan sekiranya banjir berlaku.
"Pemantauan kawasan berisiko banjir dilaksanakan secara berterusan di 572 lokasi 'hotspot' banjir di seluruh negeri.
"Bagi menyokong pemantauan dan amaran awal, sebanyak 27 unit pam bergerak, 130 stesen hujan, 108 siren amaran banjir dan 21 kamera pemantauan telah disediakan.
"Amaran awal turut mengambil kira hebahan ramalan cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan maklumat paras air sungai daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Rosdy berkata, sebanyak 878 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti 184,820 orang telah dikenal pasti bagi menempatkan mangsa banjir.
Sementara itu beliau berkata, Pahang juga mempunyai pusat pemindahan tetap bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir.
"Allhamdulillah kita telah pun ada pusat pemindahan tetap yang saya fikir yang pertama di negara ini.
"Pusat pemindahan tetap ini memberi keselesaan kepada mangsa-mangsa banjir dan tempatnya lebih proper, ada pengasingan lelaki, perempuan, ada tempat masak, ada surau dan ianya lebih baik daripada PPS," ujarnya.