LEBIH 170,000 rakan pemandu Grab Malaysia mencatatkan peningkatan pendapatan selepas memilih untuk menyertai struktur pendapatan baharu platform itu yang membayar rakan-pemandu berdasarkan jarak dan masa perjalanan mengambil penumpang sebaik sahaja tempahan diterima.
Perkembangan itu mencerminkan tumpuan Grab untuk menyediakan peluang pendapatan stabil dan mampan kepada rakan pemandu selain memastikan perkhidmatan perjalanan kekal dipercayai dan mampu milik untuk semua.
Struktur pendapatan yang dikemas kini itu dibangunkan secara berperingkat menerusi beberapa fasa pengujian dan penambahbaikan berdasarkan maklum balas rakan pemandu sebelum diperluaskan kepada semua rakan-pemandu.
Hasil pelaksanaannya menunjukkan rakan pemandu yang menyertai model berkenaan memperoleh pendapatan lebih lima peratus bagi setiap minit bekerja berbanding sebelum ini.
Model itu menggantikan komisen tetap dengan Caj Perkhidmatan Grab (GSF) berubah-ubah yang mengambil kira usaha tambahan bagi perjalanan mengambil penumpang yang lebih jauh tanpa mengubah tambang penumpang.
Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, pihaknya mengambil kira kebimbangan rakan pemandu berhubung pendapatan kerana penilaian berdasarkan peratusan bagi satu perjalanan sahaja tidak menggambarkan bagaimana mereka menjana pendapatan mingguan.
"Dengan memberikan pampasan kepada rakan pemandu berdasarkan keseluruhan usaha mereka sebaik sahaja tempahan diterima serta memaparkan jumlah sebenar pendapatan bersih mingguan, kami menangani faktor yang mempengaruhi pendapatan mereka selain memastikan rakyat Malaysia terus menikmati perkhidmatan perjalanan yang boleh dipercayai dan mampu milik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, struktur fi berubah-ubah yang fleksibel itu dibangunkan secara berperingkat sebagai penambahbaikan bagi memberikan manfaat jangka panjang kepada semua pengguna platform berkenaan.
Apabila tambang dan pampasan mengambil kira usaha rakan pemandu, mereka lebih cenderung menerima tempahan perjalanan, sekali gus membantu penumpang mendapatkan perkhidmatan dengan lebih cepat dan mudah.
Seiring peningkatan pengalaman perkhidmatan, penumpang dijangka menggunakan perkhidmatan itu dengan lebih kerap sekali gus mewujudkan lebih banyak tempahan dan peluang pendapatan kepada rakan pemandu.
Struktur baharu yang lebih fleksibel itu turut membantu mengimbangi penawaran dan permintaan dalam pasaran dengan lebih baik.
Keadaan itu membolehkan Grab mengekalkan kualiti perkhidmatan yang konsisten kepada pengguna serta peluang mata pencarian kepada rakan pemandu selain memastikan daya tahan platform berkenaan dalam menghadapi cabaran pasaran dan perubahan keadaan ekonomi.
Dalam pada itu, Grab turut memperkenalkan penyata pendapatan baharu yang dibangunkan bersama komuniti rakan pemandu berdasarkan maklum balas mereka bagi memberikan gambaran lebih jelas dan terperinci mengenai pendapatan bersih yang diterima.
Berbanding paparan tambang asas secara berasingan, susun atur baharu itu memperincikan butiran perjalanan, insentif yang diperoleh, bonus serta pelarasan mingguan termasuk bayaran 'top up' apabila tempoh perjalanan sebenar melebihi anggaran awal.
Semua tip penumpang dan insentif yang diperoleh juga disalurkan sepenuhnya kepada rakan pemandu.
Selain pampasan lebih adil, Grab turut mengekalkan mekanisme kawalan platform bagi mengelakkan pembatalan tempahan berulang, mengurangkan perjalanan tanpa penumpang serta memastikan standard keselamatan dipatuhi semua pengguna.
Langkah itu bertujuan memastikan pasaran perkhidmatan kekal boleh dipercayai dan selamat untuk semua pengguna.
Rashid berkata, matlamat Grab adalah untuk mengekalkan fleksibiliti yang menjadi tarikan utama ekonomi gig, selain memastikan keadaan kerja yang adil dan telus.
"Apabila kami membantu rakan pemandu menjana pendapatan secara mampan, kami mewujudkan ekosistem perkhidmatan yang lebih sihat, membolehkan rakyat Malaysia mendapatkan perjalanan selamat dan mampu milik pada bila-bila masa mereka perlu," katanya.