AmFIRST REIT catat lonjakan pendapatan bersih direalisasi 56.2 peratus

Iklan
FOTO SUMBER INTERNET

AmFIRST Real Estate Investment Trust (AmFIRST REIT) mencatat peningkatan 56.2 peratus dalam pendapatan bersih direalisasi kepada RM5.7 juta bagi suku kedua berakhir 30 September 2026 (S2 FY2027) didorong prestasi operasi portfolio yang lebih kukuh.

AmREIT Managers Sdn Bhd (AmREIT) selaku Pengurus AmFIRST REIT berkata, prestasi itu disokong peningkatan keseluruhan kadar penghunian, pertumbuhan pendapatan sewaan dan tempat letak kereta, sumbangan lebih tinggi daripada segmen ruang kerja bersama serta pengurusan kos yang berkesan.

Iklan
Iklan

“Bagi S2 FY2027, hasil operasi AmFIRST REIT meningkat 6.2 peratus kepada RM28.3 juta manakala pendapatan bersih hartanah (NPI) naik 13.2 peratus kepada RM16.5 juta.

“Keuntungan selepas cukai pula meningkat 65.7 peratus kepada RM7.5 juta,” katanya.

Iklan

Purata kadar penghunian keseluruhan portfolio pula meningkat kepada 88.1 peratus berbanding 85.2 peratus setahun sebelumnya sekali gus menyokong peningkatan pendapatan sewaan serta hasil daripada operasi tempat letak kereta dan segmen ruang kerja bersama.

Prestasi itu dicapai walaupun The Summit Hotel ditutup sementara bagi menjalani kerja penjenamaan semula dan pengubahsuaian utama yang menyebabkan kehilangan sementara sumbangan pendapatan.

Iklan

Kesan penutupan hotel berkenaan terhadap hasil keseluruhan AmFIRST REIT sebahagian besarnya diimbangi oleh sumbangan lebih kukuh daripada aset operasi lain dalam portfolionya.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2026 (1H FY2027), pendapatan bersih direalisasi meningkat 29.1 peratus kepada RM11.3 juta berbanding RM8.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Susulan prestasi itu, Lembaga Pengarah AmREIT mengisytiharkan agihan pendapatan interim sebanyak 1.65 sen seunit bersamaan kira-kira 100 peratus daripada pendapatan bersih boleh agih yang direalisasi bagi 1H FY2027.

Agihan berkenaan meningkat 29.9 peratus berbanding 1.27 sen seunit yang diisytiharkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan agihan itu mencerminkan komitmen pengurus untuk memberikan pulangan yang mampan dan berkembang kepada pemegang unit.

Sementara itu, bagi baki FY2027, AmFIRST REIT menjangkakan pendapatan bersih direalisasi terus disokong oleh kadar penghunian yang tinggi dan pengurusan kos secara berdisiplin.

Pada masa sama, AmFIRST REIT kekal berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang pemerolehan yang meningkatkan hasil, disokong profil gearan yang sihat serta kapasiti hutang yang tersedia.

Ia akan terus memberi tumpuan kepada pengurusan aset secara proaktif, pengurusan modal berhemat serta strategi rasionalisasi dan kepelbagaian portfolio secara terpilih bagi mengukuhkan daya tahan portfolio dan memberikan pulangan jangka panjang yang mampan kepada pemegang unit.