'Runner' dicekup bersama dadah lebih RM187,000

Iklan
Polis merampas dadah bernilai RM187,529 termasuk lebih 7.4 kilogram MDMA dan 17 liter cecair MDMA selepas menahan lelaki berusia 24 tahun di Kuantan. Foto FB Polis Kuantan

KUANTAN - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM187,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjung Lumpur di sini, Rabu lalu.

Suspek yang mendakwa berperanan sebagai penghantar atau 'runner' dan penjaga stor itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika berada di dalam lif pangsapuri berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemui dua batang rokok disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis ketamin seberat 1.56 gram.

Menurutnya, hasil soal siasat membawa polis ke sebuah rumah di pangsapuri sama sebelum menemukan pelbagai jenis dadah, termasuk serbuk disyaki Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat lebih 7.4 kilogram, ketamin (63.31 gram), pil ekstasi (9.07 gram) dan cecair MDMA (17.02 liter).

Iklan

"Sekiranya terlepas ke pasaran, dadah dianggarkan bernilai RM187,529 itu mampu dibekalkan kepada 27,839 pengguna," katanya.

Antara bekalan dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Tanjung Lumpur, Kuantan, Rabu lalu. Foto FB Polis Kuantan

Iklan

Ashari berkata, suspek ketika disoal siasat mengaku berperanan sebagai penghantar dan penjaga stor, manakala bekalan dadah berkenaan diperoleh daripada seorang lelaki di Kuala Lumpur.

"Suspek mendakwa menerima arahan daripada lelaki berkenaan melalui aplikasi Telegram.

"Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan bernilai RM36,000 yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 26 November sehingga 2 Disember ini bagi melengkapkan siasatan," katanya.