PDRM buka kertas siasatan terhadap Tony Pua, Ahli Parlimen Kota Melaka

Iklan
Tony Pua (kiri) dan Khoo Poay Tiong.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan berasingan berhubung hantaran Facebook pemimpin DAP, Tony Pua serta Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, kedua-dua siasatan itu dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. 

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebanyak 55 laporan polis telah diterima berhubung hantaran Facebook Tony berkenaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan, iaitu mendedahkan maklumat dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian," katanya dalam kenyataan malam ini. 

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, dua laporan polis diterima terhadap Poay Tiong berhubung hantaran Facebooknya yang mempertikai arahan penutupan premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika solat Jumaat oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Beliau berkata, kes membabitkan Ahli Parlimen Kota Melaka itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama mana-mana orang, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 

Iklan

Sehubungan dengan itu, Mohd Khalid mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan memandangkan kedua-dua kes masih di peringkat siasatan. 

"PDRM turut memberi amaran kepada semua pihak agar tidak sesekali menyentuh atau membangkitkan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) dalam apa jua bentuk yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat Malaysia," katanya. 

Beliau berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang mungkin menimbulkan kegentaran awam. - Bernama