Malaysia perkukuh pembiayaan hutan menerusi FCO

Iklan
Arthur (tengah) ketika hadir ke Majlis Peluncuran FCO di Kuala Lumpur, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Malaysia memperkukuh usaha pemuliharaan dan pengurusan hutan secara mampan menerusi mekanisme pengkreditan karbon berasaskan pasaran (FCO) yang bakal membuka peluang pembiayaan baharu daripada sektor awam, swasta dan antarabangsa.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, FCO yang dibangunkan Malaysia Forest Fund (MFF) itu berperanan mengukur, menilai dan mengiktiraf sumbangan hutan negara dalam menangani perubahan iklim.

Iklan
Iklan

"Pembangunan FCO juga bertepatan dengan usaha negara untuk memperkukuh struktur pasaran karbon domestik selaras Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) serta diiktiraf sebagai sistem pengkreditan karbon nasional bagi sektor perhutanan.

"Ia juga dijangka melengkapkan pasaran karbon pematuhan yang dirancang di bawah Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) dan memudah cara pembiayaan antarabangsa melalui pendekatan kerjasama di bawah Artikel 6.2 bagi pemindahan hasil mitigasi yang diiktiraf antarabangsa (ITMOs)," katanya.

Iklan

Beliau menjelaskan, FCO merupakan program pengkreditan karbon yang mengiktiraf pengurangan, penyingkiran atau pengelakan pelepasan gas rumah kaca (GHG) hasil pelaksanaan projek karbon berasaskan hutan.

Bagi memastikan integriti kredit karbon, MFF membangunkan empat metodologi pengukuran karbon merangkumi Penghutanan, Penghutanan Semula dan Pemulihan (ARR), Penambahbaikan Pengurusan Hutan (IFM), Pengurangan Pelepasan daripada Penyahhutanan dan Degradasi Hutan (REDD) serta Ekosistem Tanah Lembap (WE).

Iklan

"Pelaksanaan metodologi itu disokong projek rintis di Kelantan, Johor, Sabah dan Negeri Sembilan.

"MFF turut membangunkan dua metodologi tambahan yang memberi tumpuan kepada perhutanan bandar dan perhutanan tani," ujarnya.

Sementara itu pegawai yang menjalankan Tugas-Tugas Ketua Pegawai Eksekutif MFF, Suhaini Haron berkata, program berkenaan bertujuan memastikan potensi karbon hutan dapat diterjemahkan kepada sumber pembiayaan bagi menyokong pemuliharaan, pemulihan dan pengurusan hutan secara mampan.

Menurutnya, kejayaan FCO bukan hanya bergantung kepada pembangunan sistem dan penghasilan kredit karbon, tetapi keupayaannya menghasilkan impak sebenar termasuk manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat.

"FCO dan FCC bersifat saling melengkapi dengan pendekatan penyusunan pembiayaan bagi menggerakkan sumber pembiayaan yang berkala dan berstruktur dalam jangka masa panjang

"FCO turut membuka peluang kepada kerajaan negeri, jabatan perhutanan, pemaju projek, komuniti setempat dan sektor swasta untuk terlibat dalam pembangunan projek karbon hutan, sekali gus merangsang pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan serta memperkukuh ekonomi tempatan," ujarnya.