KUALA LUMPUR - Kompromi terhadap kesalahan walaupun kecil tidak boleh dipandang ringan kerana ia berpotensi membentuk budaya salah laku sehingga akhirnya dianggap sebagai perkara biasa dalam sesebuah organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, organisasi perlu mempunyai keberanian untuk menangani setiap pelanggaran integriti dan tidak mengambil pendekatan membiarkan kesalahan atas alasan ia hanya melibatkan seorang atau dua individu.
Menurut beliau, apabila sesuatu kesalahan tidak diperbetulkan, ia bukan sahaja membuka ruang kepada perbuatan sama untuk berulang, malah boleh mempengaruhi persepsi warga kerja lain sehingga mereka menganggap tindakan tersebut sebagai norma yang boleh diterima.
"Keadaan itu boleh mencetuskan kesan berantai apabila pekerja baharu turut terikut-ikut dengan budaya sedia ada sekali gus menyebabkan prinsip dan nilai yang sepatutnya menjadi pegangan organisasi semakin terhakis.
"Pada mulanya seorang sahaja yang melakukan kesalahan. Apabila dibiarkan, semua orang mula merasakan perkara itu tidak mengapa. Lama-kelamaan, perbuatan tersebut berulang dan akhirnya menjadi budaya.
"Daripada seorang dua, akhirnya kesannya merebak sehingga semua orang mempunyai sikap 'whatever', seolah-olah apa sahaja boleh dilakukan," katanya ketika sesi ceramah integriti sempena Hari Integriti Rapid Rail 2026 di Menara Prasarana, di sini, baru-baru ini.
Program yang disertai lebih 500 warga kerja Rapid Rail Sdn Bhd itu memberi pendedahan mengenai pencegahan rasuah, tadbir urus serta tanggungjawab warga organisasi dalam memastikan setiap urusan dilaksanakan secara telus dan berintegriti.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi LRT, Rapid Rail Sdn Bhd, Ts Nor Azmi Mohd Yusof; Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail; Ketua Seksyen Swasta, Cawangan Swasta Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, PsK Norazilatulakmar Said; Ketua Jabatan Integriti dan Governans, Norliza Ismail; Ketua Pegawai Operasi MRT, Ir. Arnizan Ariffin dan Ketua Shah Alam Line, Mohd Ariffin Idris.
Tambah Nurhayati, setiap organisasi perlu melihat masalah dan cabaran sebagai peluang untuk melakukan penambahbaikan, bukannya menganggapnya sebagai perkara remeh yang boleh diketepikan demi mengejar sasaran prestasi atau pulangan pelaburan (ROI).
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan empat pertimbangan penting sebelum seseorang membuat keputusan, khususnya apabila berdepan situasi yang tidak mempunyai panduan jelas dalam polisi organisasi.
"Pertama, menilai sama ada tindakan yang ingin dilakukan bercanggah dengan polisi organisasi. Kedua, meneliti kesannya terhadap hubungan dan kepentingan pemegang taruh atau pihak berkepentingan.
"Ketiga, memastikan tindakan tersebut tidak melanggar undang-undang negara, manakala pertimbangan keempat ialah kesediaan untuk mempertahankan keputusan berkenaan sekiranya ia diketahui umum atau tular," katanya.
Menurut Nurhayati, pertimbangan terakhir itu penting kerana sesuatu tindakan mungkin dibenarkan dari sudut undang-undang dan peraturan, tetapi belum tentu wajar dari sudut moral dan kemanusiaan.
Beliau mengambil contoh situasi seorang pemandu yang mematuhi lampu isyarat apabila lampu bertukar hijau, tetapi pada masa sama terdapat seorang warga emas yang masih belum selesai melintas jalan.
Walaupun pemandu itu mempunyai hak untuk meneruskan perjalanan berdasarkan isyarat lampu, persoalan lebih besar ialah sama ada tindakan tersebut mencerminkan nilai kemanusiaan dan keprihatinan terhadap keselamatan orang lain.
"Kadangkala sesuatu perkara itu betul dari sudut undang-undang, tetapi salah dari sudut moral. Sebab itu kita perlu memanusiakan polisi dan undang-undang.
"Humanize the law, humanize the policy. Apabila kita melaksanakan tanggungjawab, kita perlu faham bahawa undang-undang bukan sekadar peraturan di atas kertas," katanya.
Nurhayati turut menegaskan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran organisasi tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengetepikan prinsip serta membiarkan pelanggaran integriti berlaku.
Beliau berkata, organisasi yang benar-benar menjunjung integriti bukan sekadar mempunyai polisi dan peraturan yang jelas tetapi perlu memastikan setiap pelanggaran ditangani secara bertanggungjawab agar tidak berkembang menjadi budaya yang merosakkan keseluruhan sistem.
"Justeru, setiap individu dan pemimpin organisasi perlu membuat pilihan sama ada mahu terus memejamkan mata terhadap kesalahan yang berlaku, termasuk kelemahan yang tidak disedari, atau mengambil langkah berani untuk membetulkannya sebelum keadaan menjadi lebih serius," tegas beliau.
Hari Integriti Rapid Rail 2026 bertemakan Intergiti Nadi Perkhidmatan itu turut disempurnakan dengan taklimat Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (liabiliti korporat) dan ikrar bebas rasuah (IBR) serta Anugerah Integriti.