SHAH ALAM – Kesedaran mengenai bahaya rasuah terus diperkukuh menerusi Program Jelajah Antirasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMA) 2026 yang memberi manfaat kepada 5,679 pelajar dan kakitangan di enam IPMA di seluruh negara.
Program anjuran bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rasuah Busters itu mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus menjadi platform untuk menyemai nilai integriti serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menolak rasuah.
Siri jelajah bermula pada 8 Julai di Kolej MARA Banting (KMB), Selangor, sebelum diteruskan ke TVET MARA Besut dan TVET MARA Kemaman di Terengganu, TVET MARA Pekan di Pahang serta TVET MARA Rembau di Negeri Sembilan.
Jelajah itu melabuhkan tirainya di MARA Japan Industrial Institute (MJII), Beranang, Selangor, pada Jumaat lalu.
Setiap sesi menampilkan pelbagai pengisian, termasuk ceramah, perbincangan interaktif dan perkongsian pengalaman berkaitan isu integriti serta kepentingan menolak rasuah dalam kehidupan seharian, khususnya sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
Timbalan Ketua Unit Integriti MARA, Ahmad Zuriat Ahmad Tejuddin, berkata komitmen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat merupakan perkembangan positif, lebih-lebih lagi apabila usaha tersebut turut mendapat perhatian dan kerjasama agensi kerajaan.
“Kerjasama antara NGO dengan agensi kerajaan penting bagi memastikan isu integriti dan antirasuah terus diberi perhatian serta ditangani secara berterusan.
“Inisiatif seperti Program Jelajah Antirasuah IPMA ini akan diteruskan dan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi membina masyarakat yang lebih peka terhadap kepentingan integriti, amanah dan tanggungjawab bersama.
“Usaha berterusan ini diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja memahami bahaya rasuah, malah berani mempertahankan prinsip integriti dalam kehidupan seharian,” katanya kepada Rasuah Busters selepas sesi jelajah terakhir di MJII.
Tambahnya, jelajah tersebut akan diperluas pada tahun hadapan menerusi peningkatan jumlah program di pusat pendidikan MARA serta pelaksanaan pendekatan baharu bagi memperkukuh kesedaran tentang integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, usaha berkenaan bukan sahaja perlu diteruskan dengan mendekati pelajar dan warga MARA, malah wajar diperkasakan melalui penganjuran forum yang membolehkan lebih banyak pihak terlibat dalam perbincangan berkaitan integriti dan pencegahan rasuah.
“Penglibatan orang awam, khususnya masyarakat yang tinggal berhampiran pusat pendidikan yang dikunjungi, dapat membantu memperluas capaian program agar manfaatnya tidak terhad kepada warga MARA semata-mata.
“Insya-ALLAH, tahun hadapan kita berharap dapat meningkatkan lagi jumlah program bersama pusat pendidikan MARA. Kita juga berharap dapat melakukan pembaharuan, antaranya melalui penganjuran forum yang melibatkan bukan sahaja pelajar dan warga MARA, tetapi juga orang awam,” katanya.
Ahmad Zuriat turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan NGO, khususnya Rasuah Busters, yang disifatkan sebagai antara pihak yang bersungguh-sungguh memperjuangkan agenda integriti dan antirasuah di negara ini.
Dalam pada itu, Pengarah MJII, Ir. Ts. Dr. Mohd Nazif Mohd Baharuddin, berkata TVET MARA bukan sahaja memberikan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan pembangunan kemahiran, malah turut menerapkan nilai keagamaan dan integriti sebagai asas pembentukan sahsiah pelajar serta warga institusi.
Menurut beliau, agama perlu menjadi tonggak utama dalam kehidupan kerana nilai tersebut mampu membentuk individu yang berakhlak mulia, amanah dan bertanggungjawab, sekali gus menyokong pembangunan kemahiran, keusahawanan serta potensi diri.
Katanya, penerapan nilai integriti dalam kalangan pelajar dan kakitangan MARA selaras dengan tuntutan agama yang menekankan kepentingan amanah, kejujuran dan akhlak mulia dalam setiap tindakan.
“Program ini menyediakan pelbagai elemen baharu menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman serta penyampaian oleh penceramah yang membantu memberikan pendedahan dan pencerahan kepada pelajar serta kakitangan mengenai kepentingan integriti.
“Program ini memberikan banyak input kepada pelajar dan kakitangan tentang kepentingan mengamalkan integriti, kesan apabila nilai tersebut diabaikan serta implikasinya terhadap pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya.
Mohd Nazif turut menegaskan bahawa penghayatan integriti bukan sahaja memberikan kesan terhadap pembentukan individu, malah memainkan peranan penting dalam melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan menyokong pembangunan negara secara beretika.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Unit Integriti MARA dan Rasuah Busters atas pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan sebagai inisiatif bermanfaat dalam memperkukuh kesedaran tentang integriti.
“Saya amat mengalu-alukan agar program sebegini diteruskan dan diperluas dengan lebih banyak aktiviti pada masa hadapan.
“Usaha berterusan ini diharap dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran, tetapi turut memiliki jati diri yang kukuh, berakhlak mulia serta teguh mempertahankan prinsip integriti dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia – Rasuah Busters, Nurhayati Nordin, berkata generasi muda perlu membina prinsip integriti sejak daripada perkara paling kecil ketika menyampaikan mesej kesedaran antirasuah kepada pelajar.
Menurutnya, kejujuran tidak terbentuk hanya apabila seseorang memegang jawatan besar, sebaliknya dibina melalui pilihan kecil yang dibuat setiap hari.
Beliau berkata, perjuangan membanteras rasuah bukan sekadar tentang menangkap dan menghukum pelaku, tetapi juga tentang membina individu yang mampu berkata tidak apabila berdepan keperluan, ketamakan dan peluang yang menguji integriti.
Pelajar semester lima Diploma Elektronik di MJII, Nurhanisa Mohd Irwan, berkata pendedahan menerusi program berkenaan membantu membentuk pemikiran pelajar agar lebih memahami dan menghargai nilai kejujuran serta integriti dalam kehidupan seharian.
“Saya mula memahami bahawa rasuah bukan sekadar melibatkan wang, tetapi turut merangkumi perbuatan menggunakan orang lain atau cara tertentu demi mendapatkan sesuatu yang diinginkan,” katanya.
Seorang lagi pelajar semester lima Program Elektronik, Robotik dan Automasi di MJII, Mohd Afiq Mohd Azlan, berkata penganjuran program berkenaan memberikan pelbagai input tentang bahaya rasuah.
Menurutnya, sesi berkenaan turut membuka peluang kepada pelajar untuk menyuarakan pendapat secara terbuka mengenai isu rasuah.
“Kami berasa bertanggungjawab untuk memahami bagaimana rasuah memberikan kesan kepada masyarakat dan bagaimana kami boleh memainkan peranan dalam membanterasnya. Insya-ALLAH, ilmu ini akan digunakan apabila memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.
Sementara itu, pelajar semester empat Diploma Elektronik di institusi sama, Mohd Sharkawi Hussein, 21, berkata perkongsian penceramah mengenai punca, langkah pencegahan dan kesan buruk rasuah memberikan impak positif kepada pelajar, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan integriti dan usaha membanteras rasuah.