November bulan Kualiti Sedunia: Kualiti di kampus bukan sekadar fail dan angka

Iklan
Pelajar zaman sekarang cepat berubah, jadi cara kita mengajar pun kena sentiasa segar, merangsang mereka berfikir secara kritis dan kreatif, serta relevan dengan dunia luar. (Foto hiasan) Gambar kecil: Ummul Fahri

SETIAP kali kalendar masuk bulan November, satu dunia menyambut Bulan Kualiti Sedunia (World Quality Month). Secara umumnya di universiti, suasana sambutan ini selalunya boleh dijangka.

Ada yang terus terbayang timbunan fail-fail atau rekod yang perlu disemak, dokumen yang perlu dikemas kini, dan debaran menunggu panel audit datang melawat. Oleh itu, sebagai ahli akademik yang turut memikul amanah mengemudi hal ehwal kualiti dan data di universiti, seseorang itu cukup faham perasaan sedemikian.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik kesibukan menguruskan kertas kerja dan angka, ada satu soalan yang patut kita tanya pada diri sendiri: Adakah kita buat semua ini sekadar untuk mengelak diri dari audit semata-mata, atau kualiti itu memang sudah sebati dalam cara kita bekerja seharian?

Bila sebut tentang jaminan kualiti di menara gading, kita memang tidak boleh lari daripada urusan akreditasi program oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF), serta Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) ataupun dikenali sebagai Quality Management Sistem (QMS) yang berasaskan piawaian antarabangsa ISO 9001 ataupun piawaian Malaysia (MS).

Iklan

Kadang-kadang, ramai yang mengeluh kerana menganggap semua dokumen atau prosedur tertentu menyusahkan dan menambah beban kerja seharian. Hakikatnya, kerangka QMS-ISO atau piawaian MS dan juga akreditasi ini diwujudkan sebagai satu panduan mudah supaya kerja kita lebih tersusun.

Dari proses merangka silibus kuliah hinggalah urusan pelajar di kaunter, semuanya ada aturan dan carta alir yang jelas dan tidak dibuat secara tangkap muat sahaja.

Iklan

Hari ini, kerja menguruskan kualiti menjadi lebih mudah dan menarik dengan adanya bantuan teknologi digital dan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence - AI). Seseorang pekerja tidak lagi menguruskan universiti berdasarkan agak-agak atau gerak hati semata-mata, sebaliknya individu tersebut bergerak berpandukan data yang tepat dan berkualiti.

Data tentang pencapaian hasil pembelajaran pelajar (Course Learning Outcome - CLO dan Programme Learning Outcome - PLO), kadar kebolehpasaran graduan (Graduate Employability - GE), serta impak penyelidikan sangat membantu pihak pengurusan membuat keputusan yang tepat.

Bila satu-satu data itu bersih (berkualiti) dan boleh dipercayai, senang untuk kita kesan di mana silapnya dan terus baiki sebelum menjadi lebih parah.

Namun, fail-fail atau rekod-rekod ISO yang tersusun cantik atau paparan data yang canggih di skrin computer, tidak akan bermakna kalau seseorang di sebaliknya tidak menghayati nilai kualiti itu sendiri.

Kualiti yang sebenar hanya hidup bila ia diterjemahkan dalam tindakan kita sehari-hari di kampus. Kesemua prosedur yang diwujudkan itu apabila sudah menjadi budaya, ia akan memudahkan individu lain untuk melaksanakannya jika pekerja asal tidak hadir atau berada dalam cuti kecemasan.

Buat rakan-rakan pensyarah, kualiti bermula dengan keikhlasan kita dalam dewan kuliah dan bilik makmal. Pelajar zaman sekarang cepat berubah, jadi cara kita mengajar pun kena sentiasa segar, merangsang mereka berfikir secara kritis dan kreatif, serta relevan dengan dunia luar.

Dalam penyelidikan pula, kualiti bermaksud kita hasilkan kajian-kajian yang jujur dan betul-betul memberi manfaat kepada masyarakat dan komuniti, bukan sekadar kejar jumlah penerbitan semata-mata untuk cukupkan syarat KPI hujung tahun ataupun hanya untuk naik pangkat sahaja.

Di sebalik tabir kejayaan akademik pula, terletaknya jasa besar barisan staf pengurusan, profesional, dan pelaksana. Merekalah tulang belakang universiti. Kepatuhan kepada prosedur QMS-ISO dan piawaian MS, ketelitian memasukkan data ke dalam sistem, serta layanan mesra dan pantas kepada pelajar dan pensyarah adalah cerminan sebenar profesionalisme seseorang akademia.

Bila urusan pentadbiran dipermudah melalui pendigitalan dan sikap saling membantu, pensyarah pun boleh memberikan tumpuan penuh pada tugas-tugas hakiki untuk mengajar dan menyelidik.

Untuk para pelajar pula, anda adalah bukti hidup sama ada sistem pengurusan kualiti universiti ini berjaya atau tidak. Zaman sekarang, mentaliti"asal lulus" atau mencari jalan pintas seperti meniru dan plagiat sudah patut dibuang jauh-jauh.

Kualiti seorang graduan bukan sekadar diukur pada deretan gred A atas transkrip sahaja, tetapi bergantung kepada cara mahasiswa berfikir, ketahanan diri, dan kebolehan adaptasi dalam menyelesaikan masalah bila masuk ke alam pekerjaan nanti.

Pada peringkat Pusat Pengurusan Kualiti dan Data, peranan mereka bukanlah sebagai"polis" yang kerjanya mencari salah orang lain. Sebaliknya, pusat ini hadir sebagai rakan kongsi yang membantu memastikan budaya penambahbaikan berterusan (Continual Quality Improvement - CQI) berjalan lancar.

Piawaian QMS-ISO dan piawaian MS serta akreditasi MQA menjadi landasan yang mendisiplinkan kita, manakala ketepatan data pula menjadi kompas penunjuk arah.

Kualiti yang bertahan lama dan lestari akan lahir apabila setiap daripada kita rasa bangga dengan hasil tangan sendiri dan menganggap setiap tugasan sebagai satu amanah yang perlu dipikul sebaiknya dan dipertanggungjawabkan pada hari akhirat nanti.

Sehubungan dengan itu, bersempena Bulan Kualiti Sedunia pada November ini, marilah kita warga pendidikan menghayati semula makna kecemerlangan di kampus.

Jangan biarkan kualiti sekadar menjadi slogan cantik atas kain rentang yang diturunkan sebaik sahaja tamat bulan November dan masuk bulan Disember. Bahkan, apabila pematuhan piawaian QMS dan integriti data digabungkan dengan keikhlasan pensyarah, kecekapan staf dan kesungguhan mahasiswa,

Akhirnya, universiti kita pasti akan terus melangkah gagah melahirkan graduan yang bukan sahaja bijak akalnya, tetapi juga berprestasi tinggi dan berkualiti dalam kerjanya serta elok budi pekertinya.

Justeru, marilah sekali lagi kita semua sama-sama menghayati tema Bulan Kualiti Sedunia pada tahun ini iaitu: “Kualiti: Memacu Prestasi”.

*Prof Madya Dr Ummul Fahri Abdul Rauf ialah Profesor Madya di Jabatan Matematik, Pusat Asasi Pertahanan merangkap Pengarah, Pusat Jaminan Kualiti dan Pengurusan Data, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)