KEJAYAAN hatrik Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melengkapkan ‘projek Selatan’ yang bermula di Johor, diikuti Negeri Sembilan dan diakhiri di Melaka.
Tiga PRN menempatkan BN pada kedudukan dominan, sekali gus menyaksikan kebangkitan semula kuasa politik konservatif, manakala Pakatan Harapan (PH) berada pada fasa yang mencabar apabila penyusutan ketara sokongan elektoral.
Jika Johor membuktikan permulaan awal serangan politik dari Selatan, sementara N. Sembilan menandakan bayang-bayang kelumpuhan PH, Melaka pula dianggap mencetus kesan berganda daripada perkembangan tersebut.
Pembentukan blok kerjsama strategik yang membabitkan BN dan Perikatan Nasional (PN) telah menghadiahkan kemenangan supermajority dua pertiga di setiap Dewan Negeri. Sebaliknya PH berhadapan dengan komplikasi politik yang semakin melemah dalam tempoh lima bulan terakhir siri pilihan raya di Selatan.
Dalam pengertian tersebut, projek politik Selatan menampakkan perancangan tersusun dapat dikesan melalui rentetan perkembangan politik di negeri berkenaan. Fenoman ini turut menghasilkan kesan kumulatif (terkumpul) terhadap kedudukan PH terutamanya sokongan pengundi Melayu yang semakin merosot ke tahap terendah, sekali gus memperluas pasaran dan pengaruh BN-PN dalam kalangan pengundi Melayu di Malaysia. Kesan daripada ini juga hubungan BN dan PH kini tampak semakin dingin, biarpun kedua pakatan politik membentuk kerjasama dalam kerajaan campuran di peringkat federal.
Persoalan berbangkit sekarang, apakah kemenangan BN-PN akan terhenti hanya di Selatan? atau menjadi penerus kepada tekanan baru yang lebih strategik dengan menyasarkan Pantai Barat dan Pantai Timur? Cadangan dan polemik supaya PRN diadakan di Perak dan Pahang, dua negeri yang diperintah menerusi perkongsian kerjasama BN-PH, sudah mula dibangkitkan oleh kepimpinan UMNO.
Seandainya PRN Perak dan Pahang sengaja diawalkan, langkah tersebut merupakan ‘tekanan halus’ untuk memaksa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim dan gabungan PH mempercepatkan pembubaran Parlimen. Dari segi geografi pilihan raya, strategi ini membentuk satu gerakan pengepungan politik (political encirclement) yang bersambung daripada kemenangan BN dan sekutunya dalam PRN di koridor Selatan sebelum ini.
Jika dikaitkan menerusi perspektif strategi dan ketenteraan Mao Zedong (1893-1976) dalam sejarah moden China, projek politik Selatan merupakan bentuk pengepungan strategik yang diatur secara berperingkat.
Ketumbukan kuasa tidak hanya dibina melalui kemenangan besar semata-mata, tetapi penguasaan takluk beberapa kawasan geografi yang akhirnya menyempitkan pergerakan pihak lawan. Urutan kemenangan BN di Selatan menunjukkan PH semakin terkepung dalam persaingan politik yang boleh mencetuskan kesan domino merebak kepada wilayah lain, khususnya ke Pantai Barat.
Dengan mencipta gelombang PRN di Pantai Barat (Perak) dan Pantai Timur (Pahang), tekanan dapat digerakkan BN dari pelbagai penjuru Malaysia bagi menghakis tempoh bertenang dan mengagalkan cubaan kerajaan Persekutuan melengahkan PRU-16.
Dengan kata mudah, BN secara implisit (tersirat) mahukan PRU-16 dengan kadar yang cepat. BN seolah-olah berada dalam keadaan ‘penantian yang panjang’ untuk melebarkan kemenangan, manakala PH berada dalam kesuntukan masa dan waktu kecederaan untuk bangkit semula!
Dari perspektif pengurusan risiko, tindakan menyegerakan PRN merupakan ‘pelan perlindungan kuasa’ jangka panjang yang dilihat penting buat BN. Sekalipun BN berdepan laluan sukar untuk memenangi kerusi yang dominan di peringkat federal pada PRU-16 kelak, kemenangan awal PRN di peringkat negeri bakal menjamin setidak-tidaknya lima buah negeri telah berada dalam genggaman mereka untuk tempoh sepenggal.
Pengukuhan kuasa di Perak dan Pahang akan ‘menyempurnakan’ status Johor, N.Sembilan dan Melaka sebagai pangkalan kuasa dan ‘simpanan tetap negeri’ BN, seterusnya mengekalkan kuasa tawar-menawar UMNO dengan pelbagai gabungan parti yang lain dalam struktur politik nasional.
Mungkin ungkapan paling hampir dengan keadaan politik Malaysia sekarang boleh dipetik daripada ahli sejarah, Thucydides yang mencatatkan peperangan antara Athens dan Sparta iaitu “the strong do what they can and the weak suffer what they must.”
Anwar dan Zahid: ketegangan dalam kestabilan
Salah satu perkembangan menarik ialah aktor utama persaingan politik domestik kini antara Anwar dan Ahmad Zahid. Biarpun keduanya berulang kali menegaskan perkongsian kuasa antara PH dan BN masih dalam keadaan stabil, persaingan dan imbangan kuasa peringkat negeri kelihatan bertembung dan tampak semakin tidak sehaluan.
Zahid juga sering menekankan bahawa BN terus menyokong kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri. Sementara Anwar sendiri mempertahankan kedudukan kerajaan campuran dan menolak tanggapan hubungan beliau dengan timbalannya itu sedang mengalami keberantakan.
Walau bagaimanapun, ketahanan dan kestabilan pentadbiran di Putrajaya tidak semestinya memaparkan keserasian nyata, berbanding sebelum PRN. Peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan bersangkut isu pengampunan bersyarat dan tahanan rumah bekas Perdana Menteri Najib Razak dan krisis politik di Negeri Sembilan yang tidak berpenghujung memperlihatkan wujudnya Perang Dingin semakin membahang melibatkan anggota parti dalam kerajaan. Kedua isu politik berkenaan telah mencipta perpecahan dan sokongan yang berpihak antara satu sama lain.
Bahkan pergeseran PH-BN semakin memuncak apabila struktur akar umbi dan lapisan kedua kepimpinan UMNO/BN terus mengasak dan mencabar Anwar membubarkan Parlimen.
Tidak hanya itu, Zahid pernah menyatakan ‘pembubaran Parlimen lebih baik’ daripada mengadakan rombakan kabinet, diikuti laungan ‘bubar’ oleh penyokong BN dan PN semakin ketara selepas kemenangan PRN Melaka dan beberapa kenyataan dan kandungan provokatif di media sosial.
Penangguhan dan melambatkan pembubaran mungkin memberikan nafas baru untuk PH mengatur semula, memperbaiki strategi dan memulihkan semula keyakinan pengundi serta berharap keputusan PRN yang memihak BN ketika ini tidak berulang dalam PRU 16. PH pastinya sehabis mungkin untuk mengelakkan situasi ‘bernafas dalam lumpur.’
PH juga mungkin mengharapkan berlakunya pembalikan keputusan sebagaimana yang pernah tercatat dalam sejarah PRU-15. Walaupun BN awalnya merekodkan kemenangan bergaya dalam PRN Johor dan Melaka, beberapa bulan kemudian keputusan PRU-15 menujukkan perkembangan berbeza apabila mod dan momentum kejayaan BN dapat dibendung dan gagal direalisasikan kepada kelebihan elektoral di peringkat kerusi Parlimen.
Namun strategi membeli masa (buy time) mungkin juga mendatangkan risiko semakin besar. Semakin lama PH bertahan untuk memerintah, BN pada masa sama berpotensi untuk membubarkan satu demi satu negeri (Perak dan Pahang ) yang dikuasainya untuk terus menghidupkan gelombang penolakan besar-besaran pengundi Melayu terhadap PH.
Dalam politik segalanya adalah kemungkinan, sama ada PH atau BN, mereka akan bertindak mengikut kepentingan, leverage politik dan kesesuaian keadaan.
Akhir sekali, Melaka bukan penutup tirai untuk siri tiga PRN di Selatan. Ia mungkin menjadi bayangan kepada fasa persaingan lebih besar apabila pertembungan antara PH dan BN tidak lagi terhad kepada gelanggang PRN, sebaliknya mula mempengaruhi kemandirian kerajaan pusat.
Jika tekanan demi tekanan berterusan, persoalan yang sukar diramal bukan lagi tarikh Parlimen akan dibubarkan, tetapi blok mana yang paling bersedia untuk menentukan masa sesuai dan mencipta keadaan memihak kepada diri mereka bagi PRU 16.
Memandangkan PH dan Anwar khususnya bukan lagi ‘penentu mutlak’ tarikh PRU16!
*Mohd Azizi Jaeh dan Muhammad Helmi Othman merupakan pemerhati politik dan lulusan Sarjana Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).