PEMBANGUNAN sesebuah negeri lazimnya dinilai melalui pertumbuhan ekonomi, peningkatan hasil, pelaburan, peluang pekerjaan dan keupayaan fiskal.
Ukuran ini penting kerana menggambarkan kapasiti kerajaan menjana sumber serta menyediakan asas kepada kemajuan.
Namun, angka yang baik tidak semestinya bermaksud kehidupan setiap rakyat turut bertambah baik.
Pertumbuhan positif boleh berlaku, namun dalam masa yang sama, kebanyakan keluarga masih berdepan tekanan kos sara hidup, hubungan sosial masyarakat semakin pudar dan peluang untuk membangunkan potensi diri semakin mengecil, khususnya dalam kalangan golongan muda.
Persoalan yang lebih besar, apakah makna sebenar kemajuan jika tidak diterjemahkan kepada kehidupan yang lebih sejahtera?
Persoalan inilah yang diberikan penekanan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2027 pada 16 November 2026 lalu, yang bertemakan “Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera”.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kejayaan agenda pembangunan tidak wajar diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi atau kedudukan fiskal semata-mata.
Sebaliknya, kejayaan itu juga perlu dinilai berdasarkan sejauh mana pencapaian tersebut menghasilkan kehidupan rakyat yang lebih bermaruah dan bermakna.
Penegasan ini tidak menafikan kepentingan ekonomi, sebaliknya meletakkan ekonomi pada kedudukan yang tepat, iaitu sebagai wadah untuk mencapai matlamat pembangunan yang lebih besar.
Menteri Besar menggariskan lima dimensi yang menjadi asas kebahagiaan dan kesejahteraan rakyat Terengganu, iaitu keagamaan, kekeluargaan, kemasyarakatan, keintelektualan dan keselamatan.
Dimensi keagamaan menekankan hubungan dengan Tuhan serta penghayatan nilai kerohanian dalam kehidupan.
Dimensi kekeluargaan pula merangkumi hubungan harmoni dengan ibu bapa, ahli keluarga dan saudara-mara, disokong kestabilan kewangan isi rumah serta pengagihan pendapatan yang lebih saksama.
Dalam dimensi kemasyarakatan, kesejahteraan turut bergantung pada hubungan kejiranan, penyertaan dalam aktiviti sosial serta ruang untuk berehat dan beriadah.
Keintelektualan pula menuntut akses kepada pendidikan berkualiti dan peluang membangunkan potensi diri, manakala dimensi keselamatan memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dalam persekitaran yang aman, dengan perkhidmatan keselamatan awam yang dipercayai dan cekap.
Kelima-lima dimensi ini tidak berdiri secara terasing. Kestabilan ekonomi, misalnya, membantu mengukuhkan keluarga, pendidikan memperluas peluang kehidupan, keselamatan membolehkan aktiviti sosial berkembang, manakala nilai agama dan hubungan kemasyarakatan memberikan arah serta makna kepada kehidupan.
Inilah kekuatan pendekatan yang diketengahkan dalam ucapan belanjawan tersebut, iaitu pembangunan dilihat secara menyeluruh dengan menjadikan manusia dan kualiti kehidupannya sebagai pertimbangan utama.
Pendekatan ini juga mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi yang tidak disertai pengagihan manfaat secara adil berisiko meninggalkan sebahagian rakyat di belakang.
Pendekatan seperti ini sebenarnya telah menjadi tumpuan perbahasan pembangunan pada peringkat antarabangsa.
Negara seperti Bhutan, melalui gagasan Gross National Happiness, menegaskan bahawa kemajuan perlu mengimbangi nilai material dan bukan material menerusi empat tonggak serta sembilan domain yang merangkumi kesejahteraan psikologi, kesihatan, pendidikan, daya tahan komuniti dan taraf hidup.
Finland yang menduduki tempat pertama dalam World Happiness Report 2026, menerusi strategi penjenamaan negaranya, Making Happiness Happen, mengetengahkan kepercayaan, kesaksamaan, kebebasan serta masyarakat yang berfungsi sebagai asas kehidupan yang baik.
Sementara itu, Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), sebuah pertubuhan antarabangsa yang menghimpunkan 38 negara anggota dari pelbagai rantau dunia, turut membangunkan Better Life Index yang mengukur kualiti kehidupan berdasarkan 11 dimensi, termasuk pendapatan, pekerjaan, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan keseimbangan kehidupan dengan pekerjaan.
Ini menunjukkan bahawa usaha melangkaui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bukanlah gagasan terpencil, sebaliknya sebahagian daripada perkembangan pemikiran dasar awam kontemporari.
Bagi Terengganu, cabaran seterusnya ialah memastikan gagasan ini diterjemahkan secara konsisten dalam perancangan, peruntukan dan pelaksanaan dasar.
Belanjawan Terengganu 2027 memperuntukkan sebanyak RM346 juta, bersamaan 77 peratus daripada caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, untuk sektor sosial berbanding RM82 juta kepada sektor ekonomi dan RM22 juta kepada sektor pentadbiran.
Keutamaan ini memberikan isyarat jelas tentang kedudukan sektor sosial dalam agenda pembangunan negeri. Namun, jumlah peruntukan sahaja belum memadai untuk membuktikan peningkatan kesejahteraan.
Keberkesanannya perlu dinilai melalui hasil yang dirasai rakyat dalam pelbagai aspek, seperti sejauh mana akses kepada pendidikan bertambah baik, keluarga menjadi lebih berdaya tahan, komuniti semakin aktif dan saling bekerjasama, perkhidmatan keselamatan lebih dipercayai serta kualiti hidup secara keseluruhannya meningkat.
Sehubungan itu, Terengganu boleh mempertimbangkan suatu kerangka pemantauan kesejahteraan yang berpandukan lima dimensi tersebut.
Kerangka ini tidak semestinya bermula sebagai indeks yang kompleks, sebaliknya boleh dibangunkan secara berperingkat melalui indikator yang jelas, data asas, sasaran dan pelaporan berkala.
Ukuran objektif seperti pendapatan, akses kepada pendidikan dan keselamatan boleh digabungkan dengan penilaian pengalaman rakyat, termasuk kepuasan hidup, hubungan kekeluargaan dan rasa kebersamaan.
Kesimpulannya, mesej yang digariskan oleh Menteri Besar dalam Belanjawan Terengganu 2027 membawa anjakan penting dalam cara pembangunan negeri difahami dan dilaksanakan.
Ekonomi tetap perlu diperkukuh, hasil perlu ditingkatkan dan kedudukan fiskal perlu diurus secara berdisiplin. Sebagaimana ditekankan dalam ucapan tersebut, pertumbuhan ekonomi bertindak sebagai alat, manakala kesejahteraan rakyat ialah matlamatnya.
*Asyraf Salleh ialah Pegawai Penyelidik di Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) yang fokus dalam bidang penyelidikan dasar. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dan dan kini sedang menyambung pelajaran di peringkat PhD di salah sebuah universiti awam di Malaysia. Bidang tumpuan beliau merangkumi ekonomi, kewangan dan dasar polisi awam.