Belanjawan Pahang 2027: Hasil negeri meningkat, rakyat menanti manfaat

Iklan
Pembentangan Belanjawan Negeri Pahang 2027 merupakan dokumen penting yang menentukan hala tuju pembangunan, keutamaan perbelanjaan dan kesejahteraan rakyat bagi tahun mendatang.

PEMBENTANGAN Belanjawan Negeri Pahang 2027 pada 20 November 2026 yang bertemakan 'Pahang 1st: Kerajaan Prihatin, Rakyat Diutamakan' merupakan satu dokumen penting yang menentukan hala tuju pembangunan, keutamaan perbelanjaan dan kesejahteraan rakyat bagi tahun mendatang.

Belanjawan bukan sekadar pembentangan angka, pengumuman peruntukan atau senarai program kerajaan. Sebaliknya, belanjawan merupakan cerminan keutamaan pentadbiran, kecekapan mengurus hasil negeri serta kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Iklan
Iklan

Sebagai sebuah negeri yang dikurniakan kekayaan sumber alam, keluasan tanah, potensi pertanian, pelancongan dan kedudukan strategik untuk pembangunan industri, Pahang sepatutnya mempunyai ruang yang lebih besar untuk melonjakkan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.

Justeru, Belanjawan Pahang 2027 perlu dinilai bukan semata-mata berdasarkan jumlah hasil dan peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana ia mampu menjawab persoalan asas rakyat yang masih belum selesai.

Iklan

Dalam semangat tanggungjawab semak dan imbang, saya ingin mengemukakan beberapa persoalan dan pandangan konstruktif agar setiap ringgit hasil negeri benar-benar memberikan pulangan kepada rakyat.

Pertama: Hasil negeri meningkat ketara, mengapa peruntukan pembangunan hanya bertambah sederhana?

Iklan

Berdasarkan angka yang dibentangkan, kerajaan negeri mengunjurkan hasil sebanyak RM1.507 bilion bagi tahun 2027, dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM1.502 bilion serta lebihan belanjawan sebanyak RM5 juta. Peruntukan pembangunan pula ditetapkan sebanyak RM454.4 juta.

Saya mengiktiraf usaha kerajaan meningkatkan hasil negeri dan mengekalkan kedudukan belanjawan lebihan. Namun, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah sejauh mana peningkatan hasil tersebut dimanfaatkan untuk mempercepat pembangunan negeri?

Jika dibandingkan dengan Belanjawan 2026, terdapat perbezaan yang cukup ketara:

- Hasil negeri meningkat daripada RM1.279 bilion kepada RM1.507 bilion, iaitu pertambahan RM228 juta atau sekitar 17.8%.

- Peruntukan pembangunan pula meningkat daripada RM446.26 juta kepada RM454.4 juta, iaitu hanya pertambahan RM8.14 juta atau sekitar 1.8%.

Perbandingan ini menimbulkan persoalan yang wajar dijawab secara terbuka oleh kerajaan.

Apabila hasil negeri meningkat sebanyak RM228 juta, mengapa pertambahan peruntukan pembangunan hanya RM8.14 juta?

Adakah peningkatan hasil tersebut lebih banyak diserap oleh komitmen perbelanjaan mengurus? Apakah strategi kerajaan untuk memastikan pertambahan hasil negeri dapat dimanfaatkan secara lebih langsung bagi menyelesaikan keperluan infrastruktur, kemudahan asas dan pembangunan ekonomi rakyat?

Kita memahami bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab membiayai operasi pentadbiran, pembayaran emolumen dan komitmen wajib yang lain.

Namun, pengurusan kewangan yang baik bukan sekadar memastikan kerajaan mempunyai wang untuk beroperasi, tetapi turut memastikan kemampuan kewangan negeri digunakan secara optimum untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kita mahu melihat pertambahan hasil negeri diterjemahkan kepada lebih banyak jalan raya yang dinaik taraf, bekalan air yang lebih terjamin, kemudahan kesihatan yang lebih baik, peluang pekerjaan berkualiti dan pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh.

Hasil negeri bukan sekadar angka dalam penyata kewangan. Hasil negeri ialah amanah rakyat yang mesti dikembalikan dalam bentuk pembangunan dan kesejahteraan.

Kedua: 181 inisiatif diumumkan tetapi sejauh mana kehidupan rakyat berubah?

Saya mengambil maklum pengumuman sebanyak 181 inisiatif dalam Belanjawan 2027, termasuk 158 inisiatif di bawah Inisiatif Bantuan Negeri Pahang (iBN Pahang), yang dijenamakan semula daripada Inisiatif Makmur Pahang.

Usaha memperluaskan bantuan kepada rakyat sememangnya wajar dihargai. Namun, jumlah inisiatif yang banyak tidak semestinya menggambarkan keberkesanan sesebuah belanjawan.

Persoalan yang lebih penting ialah berapa ramai rakyat yang benar-benar menerima manfaat, berapa besar impak bantuan tersebut dan sejauh mana ia mampu mengubah kehidupan mereka dalam jangka panjang?

Realitinya, rakyat masih berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, peningkatan harga barangan keperluan, pendapatan isi rumah yang terbatas, kesukaran memiliki rumah dan ketidaktentuan peluang pekerjaan.

Kita tidak mahu kebajikan rakyat hanya diukur melalui jumlah bantuan yang diagihkan setiap tahun. Sebaliknya, kerajaan perlu membina ekosistem ekonomi yang membolehkan rakyat meningkatkan pendapatan dan keluar daripada tekanan kehidupan.

Antara perkara yang perlu diberikan keutamaan ialah:

1. Peluang pekerjaan berkualiti – Memastikan pembangunan industri di Pahang turut membuka peluang pekerjaan kepada anak tempatan dengan pendapatan yang munasabah dan kelayakan pendidikan yang setaraf.

2. Pemerkasaan ekonomi anak muda – Menyediakan akses kepada modal, latihan kemahiran, peluang perniagaan dan keusahawanan bukan sekadar bantuan secara one off.

3. Pengukuhan PMKS – Membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana berkembang serta meningkatkan daya saing.

4. Kemampuan memiliki rumah – Memperluaskan penyediaan rumah mampu milik yang benar-benar sesuai dengan pendapatan golongan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

5. Pembangunan ekonomi luar bandar – Memperkasakan petani, pekebun kecil, nelayan dan usahawan desa supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

Bantuan bersifat sementara perlu berjalan seiring dengan dasar yang membina kemandirian ekonomi.

Kerajaan yang benar-benar prihatin bukan sekadar membantu rakyat ketika mereka kesusahan, tetapi membina peluang supaya rakyat tidak terus hidup dalam kesusahan.

Ketiga: Masalah aasa rakyat mesti menjadi keutamaan bukan sekadar janji pembangunan

Pembangunan sesebuah negeri tidak sepatutnya hanya diukur melalui projek mega, bangunan baharu atau angka pelaburan yang diumumkan.

Ukuran yang paling dekat dengan kehidupan rakyat ialah sejauh mana masalah asas mereka dapat diselesaikan.

Hakikatnya, masih terdapat penduduk di beberapa kawasan Pahang yang berhadapan dengan isu bekalan air, kerosakan jalan raya, banjir, sistem saliran yang tidak sempurna serta kekurangan kemudahan asas, khususnya di kawasan luar bandar.

Selepas lebih enam dekad Barisan Nasional menerajui pentadbiran Negeri Pahang, rakyat berhak bertanya mengapa sebahagian masalah asas masih berulang dan belum diselesaikan secara menyeluruh.

Kita tidak mahu isu bekalan air hanya menjadi perhatian apabila berlaku gangguan besar. Kita tidak mahu kerosakan jalan raya hanya diberikan perhatian selepas berlaku kemalangan atau aduan tular. Kita juga tidak mahu masalah banjir terus menjadi pengalaman tahunan yang membebankan penduduk.

Rakyat di Rompin, Kuala Lipis, Jerantut, Bera, Cameron Highlands, Temerloh, Kuantan dan seluruh daerah di Pahang memerlukan penyelesaian yang konkrit.

Kerajaan perlu mempunyai pelan tindakan yang jelas bagi:

- Menangani gangguan bekalan air dan memperkukuh sistem agihan serta penyelenggaraan.

- Menaik taraf jalan perhubungan kampung dan jalan utama yang kritikal.

- Mempercepat projek tebatan banjir serta menaik taraf sistem saliran.

- Memperluaskan kemudahan asas di kawasan pedalaman dan penempatan luar bandar.

- Memastikan kemudahan kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam dapat dinikmati secara lebih seimbang.

Persoalannya, berapakah jumlah peruntukan yang benar-benar dikhususkan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini? Apakah kawasan yang akan diberikan keutamaan dan bilakah rakyat boleh menjangkakan penyelesaiannya?

Kita mahu melihat senarai projek yang jelas mengikut daerah, peruntukan, tempoh pelaksanaan dan sasaran pencapaian.

Rakyat tidak meminta pembangunan yang luar biasa. Mereka hanya mahu masalah asas yang sekian lama membelenggu kehidupan mereka diberikan penyelesaian yang sewajarnya.

Jangan sampai rakyat hanya menjadi penonton kepada pembangunan negeri, sedangkan keperluan asas di kawasan tempat mereka tinggal masih belum diselesaikan.

Keempat: Setiap ringgit wang negeri mesti memberikan nilai dan pulangan kepada rakyat

Belanjawan yang baik bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah wang yang diluluskan, tetapi berdasarkan keupayaan kerajaan melaksanakan projek dengan cekap, mengawal kos dan memastikan hasilnya benar-benar dinikmati rakyat.

Kita mahu melihat budaya pentadbiran yang mengutamakan keberhasilan, bukannya sekadar pengumuman.

Antara persoalan yang perlu dijelaskan oleh kerajaan ialah:

1. Berapakah jumlah projek pembangunan yang berjaya disiapkan mengikut jadual?

2. Berapakah jumlah projek yang masih tertangguh dan apakah punca kelewatan?

3. Berapakah jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan berbanding peruntukan yang diluluskan?

4. Berapakah jumlah rakyat yang benar-benar menerima manfaat daripada setiap inisiatif?

5. Apakah mekanisme pemantauan bagi memastikan projek disiapkan mengikut spesifikasi, kos dan kualiti yang ditetapkan?

6. Bagaimanakah kerajaan mengukur impak sebenar setiap perbelanjaan terhadap kehidupan rakyat?

Persoalan ini bukan bertujuan mencari kesalahan kerajaan, tetapi memastikan amanah kewangan negeri diurus dengan penuh tanggungjawab.

Sehubungan itu, saya mencadangkan agar Kerajaan Negeri mewujudkan Laporan Prestasi Pelaksanaan Belanjawan Pahang setiap enam bulan yang boleh diakses oleh rakyat.

Laporan tersebut hendaklah merangkumi:

- Peruntukan asal dan jumlah perbelanjaan sebenar.

- Senarai projek mengikut daerah.

- Status kemajuan fizikal dan kewangan projek.

- Projek yang siap, sedang dilaksanakan dan tertangguh.

- Jumlah penerima manfaat bagi setiap program.

- Petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang telah dicapai.

Kerajaan juga perlu memastikan setiap projek mempunyai garis masa pelaksanaan yang realistik dan mekanisme tindakan pembetulan sekiranya berlaku kelewatan.

Ketelusan bukan kelemahan kerajaan. Ketelusan ialah bukti bahawa kerajaan yakin terhadap cara amanah rakyat diuruskan.

Rakyat berhak mengetahui ke mana wang negeri dibelanjakan dan apakah pulangan yang mereka peroleh.

Kelima: Semak dan imbang bukan permusuhan tetapi tanggungjawab demi kebaikan rakyat

Dalam sistem demokrasi, peranan pembangkang bukan sekadar menunggu kesilapan kerajaan untuk dikritik. Sebaliknya, pembangkang mempunyai tanggungjawab meneliti dasar, mempersoalkan kelemahan, membawa suara rakyat dan mengemukakan cadangan alternatif.

Saya ingin menegaskan bahawa kita tidak mempunyai masalah untuk mengiktiraf perkara yang baik dan menyokong dasar kerajaan yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat, tanpa mengira siapa yang melaksanakannya.

Namun, kita juga tidak akan berdiam diri apabila terdapat persoalan yang perlu dijawab, kelemahan yang perlu diperbaiki dan keperluan rakyat yang masih belum diberikan perhatian.

Kritikan berasaskan fakta bukan bertujuan menjatuhkan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia merupakan sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat untuk meningkatkan akauntabiliti dan memperkukuh tadbir urus negeri.

Kerajaan yang kuat bukan kerajaan yang bebas daripada kritikan, tetapi kerajaan yang berani menerima teguran, bersedia menjelaskan keputusan dan mempunyai kesungguhan memperbaiki kelemahan.

Justeru, saya berharap pihak kerajaan tidak melihat teguran pembangkang sebagai ancaman politik. Sebaliknya, jadikanlah setiap pandangan sebagai ruang penambahbaikan demi kepentingan rakyat Pahang.

Kita boleh berbeza dari segi politik, tetapi tanggungjawab terhadap rakyat dan masa depan Pahang mesti menjadi keutamaan bersama.

Penutup: Penyatuan ummah, Pas teraju Pahang - Membina kekuatan, menawarkan kepimpinan alternatif

Akhirnya, kejayaan sesebuah belanjawan tidak boleh dinilai berdasarkan berapa bilion ringgit yang diumumkan, berapa banyak program yang disenaraikan atau betapa menariknya tema yang digunakan.

Kejayaan sebenar perlu diukur melalui perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat.

Adakah pendapatan isi rumah meningkat? Adakah peluang pekerjaan semakin luas? Adakah kos sara hidup dapat ditangani? Adakah masalah bekalan air dan kerosakan jalan raya semakin berkurangan? Adakah anak muda mempunyai peluang membina masa depan di negeri sendiri?

Inilah ukuran sebenar kejayaan Belanjawan Pahang 2027.

Namun, apabila kita berbicara mengenai masa depan Pahang, kita tidak boleh hanya melihat kepada persoalan kewangan dan pembangunan fizikal. Negeri ini turut memerlukan kekuatan politik, kepimpinan yang berintegriti, kestabilan pentadbiran serta kesepakatan yang mampu menyatukan seluruh kekuatan masyarakat.

Dalam konteks ini, saya berpandangan bahawa agenda Penyatuan Ummah perlu terus diberikan keutamaan.

Kita tidak mahu kekuatan ummah terus dipecahkan oleh persaingan politik yang tidak berkesudahan sehingga melemahkan keupayaan kita membina masa depan negeri. Perbezaan pandangan dan latar belakang politik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencari titik persamaan demi kepentingan rakyat.

Penyatuan ummah bukan semata-mata agenda menghadapi pilihan raya atau usaha merebut kuasa. Ia mesti menjadi asas membina kekuatan bersama, memperkukuh kestabilan politik dan melahirkan sebuah kepimpinan yang mampu membawa Pahang ke arah masa depan lebih baik.

Dalam kerangka inilah gagasan Pas Teraju Pahang perlu difahami.

Pas bukan sekadar menawarkan kritikan terhadap kelemahan kerajaan sedia ada. Pas sentiasa bersedia menawarkan dasar, perancangan, pasukan kepimpinan dan kemampuan pentadbiran yang lebih tersusun serta diyakini rakyat.

Kita perlu membuktikan bahawa Pas mempunyai keupayaan mengurus hasil negeri, merancang pembangunan, menarik pelaburan berkualiti, memperkukuh ekonomi rakyat dan memastikan pengagihan pembangunan dilaksanakan secara adil tanpa meminggirkan mana-mana daerah atau kelompok masyarakat.

Pahang mempunyai potensi yang sangat besar. Kekayaan sumber alam, tanah pertanian, industri, pelancongan dan kedudukan strategik negeri merupakan aset yang boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan kemakmuran rakyat.

Persoalannya bukan sama ada Pahang mempunyai potensi, tetapi bagaimana potensi tersebut diurus dan dimanfaatkan secara optimum.

Kita mahu melihat sebuah pentadbiran yang bukan sahaja cekap menarik pelaburan, tetapi memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat tempatan. Kita mahu melihat hasil negeri diurus dengan telus, peluang ekonomi diperluaskan dan kekayaan negeri diagihkan secara lebih adil.

Inilah antara prinsip yang menjadi asas kepada tawaran kepimpinan Pas di Pahang.

Saya yakin dan percaya Pas bersama rakan-rakan dalam agenda Penyatuan Ummah sentiasa mencari ruang membina kesepakatan berteraskan keikhlasan, kepercayaan, prinsip dan kepentingan rakyat. Kesepakatan ini mestilah disusuli dengan persediaan dasar, barisan kepimpinan yang berkualiti dan kemampuan mentadbir yang boleh dinilai.

Saya percaya rakyat Pahang tidak hanya mahukan perubahan wajah kepimpinan. Mereka mahukan perubahan cara pentadbiran, perubahan keutamaan pembangunan dan perubahan dalam pendekatan menyelesaikan masalah rakyat.

Kita tidak mahu sekadar menggantikan kerajaan, tetapi mahu memastikan pentadbiran yang dibentuk benar-benar lebih baik dan mampu memberikan hasil yang nyata.

Penyatuan ummah menjadi asas kekuatan. Pas Teraju Pahang menjadi gagasan kepimpinan. Kesejahteraan rakyat menjadi matlamat perjuangan.

Kepada seluruh rakyat Pahang, masa depan negeri ini merupakan tanggungjawab kita bersama. Kita perlu berani menilai prestasi kerajaan, menuntut akauntabiliti dan membuka ruang kepada tawaran kepimpinan yang lebih baik.

Pahang tidak boleh terus terperangkap dalam politik persaingan yang memecah-belahkan. Pahang memerlukan politik penyatuan, pentadbiran berintegriti dan pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Akhirnya, saya ingin tegaskan bahawa angka yang besar mesti diterjemahkan kepada manfaat yang nyata. Hasil negeri yang meningkat mesti membawa pembangunan yang lebih seimbang. Bantuan kerajaan mesti membina kemandirian rakyat. Dan setiap peruntukan mesti dipertanggungjawabkan.

Saya melihat Pas bukan sekadar mahu menjadi suara yang menegur kelemahan kerajaan. Pas mesti mempersiapkan diri untuk memikul amanah yang lebih besar, menawarkan dasar yang lebih baik dan membina masa depan Pahang yang lebih sejahtera.

Pahang memerlukan lebih daripada sekadar belanjawan yang besar. Pahang memerlukan kepimpinan yang berani membuat perubahan, pentadbiran yang cekap mengurus amanah dan kesungguhan untuk memastikan rakyat benar-benar menikmati hasil pembangunan negeri.

PENYATUAN UMMAH, PAS TERAJU PAHANG – BERSATU MEMBINA KEKUATAN, BERTEKAD MEMBAWA PERUBAHAN.

*Ahmad Azlan Abu Bakar CA(M) ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pahang