JAKARTA - Pasukan mencari dan menyelamat menemukan 13 mayat di dua terowong lombong emas haram yang dilanda banjir di wilayah Jawa Barat, Indonesia, manakala 13 lagi masih hilang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik polis pada Khamis.
Polis berkata, mangsa sedang menjalankan kegiatan perlombongan di dua terowong di kawasan perlombongan emas Pongkor, Kecamatan Nanggung, Kabupaten Bogor, apabila hujan lebat mengakibatkan air banjir memasuki terowong berkenaan lewat Isnin.
Ketua Polis Jawa Barat, Inspektor Jeneral Hengki pada awal Khamis berkata, 26 keluarga melaporkan kehilangan anggota keluarga masing-masing susulan kejadian itu, dengan 13 mangsa setakat ini ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa.
Beliau berkata, 19 pelombong dipercayai terperangkap di terowong pertama manakala tujuh lagi di terowong kedua.
Berdasarkan maklumat Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas), bahagian paling dalam terowong pertama dianggarkan mencecah antara 100 hingga 150 meter di bawah permukaan tanah.
Usaha mengesan baki mangsa masih diteruskan, namun kelancaran operasi bergantung pada keadaan cuaca.
Hengki berkata, Basarnas akan menentukan sama ada operasi pencarian perlu dihentikan sementara atau disambung semula berdasarkan jarak penglihatan, keadaan hujan dan faktor lain, dengan keselamatan anggota penyelamat menjadi keutamaan.
Kejadian itu merupakan insiden terbaharu dalam siri kemalangan maut membabitkan kegiatan perlombongan haram di Pongkor, yang sebelum ini turut meragut nyawa pelombong akibat terowong runtuh, tanah runtuh dan pendedahan kepada gas beracun.
Pongkor, yang terletak kira-kira 70 kilometer di selatan Jakarta, merupakan lokasi kegiatan perlombongan emas berskala besar. - Bernama/dpa