Isu ayam mentah MRSM: Pengusaha makanan berdepan kemungkinan disenarai hitam - Exco
Iklan
Mohd Ridhwan. (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian).
MELAKA - Pengusaha makanan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba, Jasin berdepan kemungkinan disenarai hitam susulan insiden penyediaan hidangan ayam dipercayai mentah kepada pelajar di institusi pendidikan itu pada Ahad lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, tindakan itu boleh dipertimbangkan sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian di pihak syarikat terbabit.
Iklan
Iklan
Beliau melahirkan rasa kesal terhadap insiden itu yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi ketika pelajar bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Saya melihat ini satu perkara tidak sepatutnya berlaku kerana selepas mendapat kontrak untuk tempoh lama, sepatutnya di penghujung perkhidmatan menunjukkan tanggungjawab dan memberikan yang terbaik.
Iklan
"Saya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak MRSM dan MARA (Majlis Amanah Rakyat) berhubung siasatan serta tindakan sewajarnya terhadap syarikat terbabit," katanya ketika ditemui pada Selasa
Menurutnya, pengusaha makanan yang mempunyai baki tempoh kontrak kira-kira sebulan seharusnya terus memberikan perkhidmatan terbaik sebagai menghargai kepercayaan diberikan pihak MARA dan MRSM.
Iklan
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan pengurusan institusi itu segera menyiasat aduan berhubung penyediaan makanan tidak memuaskan di Dewan Selera MRSM Tun Ghafar Baba.
Arahan itu susulan aduan beberapa pelajar dan ibu bapa yang mendakwa ayam dalam hidangan disediakan pada petang Ahad tidak dimasak dengan sempurna.
Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan mengingatkan pengusaha makanan di sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya bersikap jujur serta tidak mengambil kontrak sekiranya tidak mampu memenuhi syarat dan nilai kontrak ditetapkan.
Katanya, aspek kualiti makanan perlu diberikan perhatian serius, manakala pemilik syarikat tidak seharusnya menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab penyediaan makanan kepada pekerja.
"Pengusaha perlu turun padang memantau pekerja kerana syarikat yang menandatangani kontrak bertanggungjawab memastikan setiap proses penyediaan makanan serta pemeriksaan kualiti dilaksanakan dengan sempurna.
"Jika tidak mampu dengan nilai yang ditawarkan, jangan ambil kontrak dan serahkan kepada pihak lain yang benar-benar layak serta komited," ujar beliau.
Beliau berkata, tindakan tegas terhadap pengusaha yang didapati cuai perlu dijadikan pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab menyediakan makanan kepada pelajar.
Dalam pada itu, Mohd Ridhwan turut mengingatkan pihak sekolah dan institusi pengajian tinggi supaya memastikan setiap proses penyediaan makanan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kesilapan dalam penyediaan makanan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan pelajar.
"Jika berlaku kelemahan atau kesalahan seperti ini, tindakan sewajarnya termasuk menukar pembekal atau penyedia makanan perlu dipertimbangkan supaya semua pihak mengambil perkara ini dengan serius dan tidak sambil lewa," tambah beliau.
Ibunya, Asiah Basiron, 51, berkata, anaknya kali terakhir dilihat pada 3 Oktober 2019 ketika keluar dari rumah mereka di Pulau Gadong kira-kira jam 5 petang untuk ke tempat kerja di sebuah kilang solar di Tanjung Minyak.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/805913/edisi/melaka-ns/tujuh-tahun-akmal-hilang---ibu-dakwa-anak-hilang-selepas-kenal-lelaki-tua-menyamar-puteri-nabila
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.