Beberapa laluan sekitar Kota Warisan dinaiki air, trafik sesak teruk sejak awal pagi

Iklan
Tangkap layar video yang dirakam pengguna Threads di bangunan sekitar Kota Warisan menghadap Jalan Labohan Dagang-Nilai menuju ke KLIA

SEPANG - Beberapa laluan utama dan jalan pintas di sekitar Kota Warisan di sini, dinaiki air sejak awal pagi tadi sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk kepada pengguna jalan raya.

Kejadian banjir kilat itu dilaporkan berlaku seawal jam 6 pagi pada Rabu menerusi beberapa perkongsian pengguna jalan raya dan penduduk tempatan di aplikasi media sosial, Threads, yang memaparkan kenderaan terpaksa meredah laluan ditenggelami air berwarna keruh.

Iklan
Iklan

Laporan trafik oleh Astro Radio Traffic pada jam 8.22 pagi mengesahkan pengguna jalan raya berdepan kelewatan perjalanan kira-kira 20 minit menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan banjir kilat di persimpangan lampu isyarat Jalan Labohan Dagang-Nilai.

Menerusi perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai @kamal_hairi00, air turut memenuhi laluan di persimpangan empat Kota Warisan sehingga memaksa kenderaan berat dan kereta meredah banjir, selain mempersoalkan kemungkinan kejadian berpunca daripada masalah longkang tersumbat.

Iklan

Seorang lagi pengguna, @mimiza.cumilz memaklumkan suaminya yang keluar bekerja pada jam 6 pagi mendapati laluan di hadapan kilang Ayamas dinaiki air dan terpaksa ditutup, selain banjir turut berlaku di kawasan lampu isyarat pusingan U menghala ke KLIA dan Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai.

Sementara itu, pengguna @afftn_ memuat naik rakaman keadaan di sekitar jejambat Kota Warisan yang turut dinaiki air dengan kehadiran anggota penguat kuasa mengawal lalu lintas, sambil menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing.

Iklan

Dalam pada itu, tinjauan terbaharu penduduk setempat mendapati limpahan air turut menjejaskan jalan alternatif berhampiran kawasan perumahan.

Pengguna @zeanaramli berkongsi keadaan jalan bersebelahan Taman Warisan Hijauan menuju ke arah kedai Acheh yang merupakan jalan pintas ke Pasar Dengkil turut ditenggelami air hujan.

Selain itu, pengguna @mmatrazi turut memuat naik rakaman keadaan jalan yang basah dan digenangi air ketika melalui laluan dari Taman Semarak Warisan menghala ke Jalan Gemilang 1, Kota Warisan awal pagi tadi, manakala @admsyhir berkongsi gambar deretan panjang kenderaan yang terperangkap dalam kesesakan luar biasa di kawasan berkenaan.