PM gesa doktor, guru jangan terlalu memilih lokasi penempatan

Iklan
Anwar bercakap pada program khas Dialog Negara terbitan RTM bertemakan “Di Sebalik Keputusan” di Angkasapuri. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa doktor, guru dan penjawat awam lain supaya tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga enggan berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata, meskipun kerajaan bersedia mempertimbangkan penyesuaian penempatan sekiranya munasabah, keperluan rakyat di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan seperti dalam aspek kesihatan tetap perlu diutamakan.

Iklan
Iklan

"Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?" katanya pada program 'Dialog Negara' yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Iklan

Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu penempatan itu bukan sahaja melibatkan doktor, malah turut dihadapi penjawat awam lain termasuk jurutera dan guru.

Beliau berkata, penempatan penjawat awam di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di pedalaman Sabah, Sarawak serta Semenanjung tidak terjejas.

Iklan

Barisan panel terlibat dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.

Turut terlibat, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama