Rasuah masalah sistemik, perlu ketegasan berterusan - Anwar

Iklan
Anwar bercakap pada program khas Dialog Negara terbitan RTM bertemakan “Di Sebalik Keputusan” di Angkasapuri. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rasuah di negara ini sebagai masalah sistemik yang memerlukan komitmen dan ketegasan berterusan semua pihak untuk membanterasnya, termasuk dengan membina kesedaran integriti dalam kalangan generasi muda.

Perdana Menteri berkata, usaha memerangi rasuah bukan sesuatu yang mudah memandangkan amalan itu telah berakar umbi dalam sistem, justeru kerajaan perlu terus mengambil tindakan tegas tanpa menjadikan populariti sebagai pertimbangan utama.

Iklan
Iklan

"Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Jadi oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua," katanya pada program 'Dialog Negara' yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Iklan

Anwar berkata, cabaran membanteras rasuah ternyata lebih besar daripada yang dijangkakan, justeru kesedaran mengenai kepentingan integriti perlu dipupuk sejak awal, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Perdana Menteri berkata, golongan belia merupakan harapan negara dalam membawa perubahan serta memastikan masa depan Malaysia lebih terjamin.

Iklan

Sehubungan dengan itu, Anwar berkata, beliau melaksanakan pelbagai program untuk mendekati golongan muda, antaranya menerusi sesi pertemuan di institusi pengajian tinggi bagi menyemai idealisme berteraskan nilai integriti.

Menjawab persoalan mengenai dakwaan wujudnya perbezaan layanan dalam tindakan terhadap individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah, Anwar menegaskan, beliau tidak akan melindungi sesiapa yang disiasat atau didakwa atas kesalahan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati, manakala Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kebebasan untuk menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Sebagai contoh, Anwar berkata, bekas setiausaha politik kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan kes rasuah tanpa sebarang campur tangan daripada beliau.

"Saudara bayangkan orang rapat dengan saya itu apabila disiasat, tentu saya tanya apa dia ini.

"Dia beritahu saya tetapi saya kata saya tak campur. Maka dia didakwa. Ada pernah ke kes seperti itu berlaku? Tidak dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan (mereka yang terlibat rasuah)," kata beliau.

Sementara itu, menjelang 2027, Anwar berharap setiap rakyat Malaysia dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah masing-masing bagi memastikan pembangunan negara terus berpaksikan prinsip integriti, tanpa mengira kedudukan atau peranan dalam masyarakat.

Beliau berkata, tanggungjawab membina negara bukan sahaja terletak pada bahu pemimpin dan penjawat awam, malah turut digalas oleh mahasiswa serta setiap anggota masyarakat dan institusi keluarga.

Anwar turut menegaskan bahawa cabaran dihadapi negara tidak seharusnya dilihat dari sudut perbezaan kaum, sebaliknya perlu ditangani secara bersama dengan memperkukuh prinsip, nilai dan akhlak masyarakat.

"Masalah kita bukan soal kaum. Jangan benci satu sama lain. Masalah kita ini masalah prinsip dan akhlak. Jadi kita perlu baiki bersama, kita bina kekuatan kerana kita punyai sepertimana saya tegaskan, potensi luar biasa untuk mengangkat martabat negara ini," kata beliau.

Barisan panel dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.

Turut terlibat, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama