KOTA BHARU – Keadaan kemudahan tandas yang terhad di sebuah bangunan sahaja di Sekolah Kebangsaan (SK) Banggol Saman, Ketereh di sini memberi kesukaran kepada lebih 500 murid sekolah itu.
Bangunan berkenaan hanya mempunyai satu tandas lelaki dan satu tandas perempuan dengan masing-masing dilengkapi tiga mangkuk tandas untuk kegunaan murid.
Justeru, pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu menggesa pembinaan tandas baharu yang dicadangkan sebelum ini dapat disegerakan bagi memenuhi keperluan murid.
Wakil PIBG, Zura Muda berkata, kemudahan satu tandas di sekolah itu sudah sekian lama sejak penubuhan sekolah 1968.
“Dulu mungkin tak ramai murid tapi sejak ada pembangunan sekitar, matrikulasi dan sebagainya, murid sekolah makin bertambah.
“Sekarang ada kira-kira 500 murid terpaksa bergilir tandas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau sebelum itu hadir pada perasmian Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid 2026 sekolah berkenaan.
Turut hadir, Guru Besar SK Banggol Saman Nai’m Ibrahim dan Penasihat Bersama Media Krangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Profesor Adjung Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Zura sendiri alumni sekolah itu dan pernah berdepan pengalaman sukar menggunakan satu tandas berkenaan.
“Saya sekolah darjah satu 1995 di sini, sejak dulu pun dah memang payah.
“Lebih-lebih lagi kalau kelas jauh dari bangunan ini, sebab bangunan ini saja ada tandas, dua lagi blok tak ada tandas, kena jalan jauh,” katanya.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan murid keluar lebih lama dari kelas untuk menggunakan tandas selain perlu menunggu giliran dengan ramai murid lain.
Beliau memberitahu, permohonan pembinaan kemudahan berkenaan sudah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan cadangan lokasi di kawasan lapang berhampiran bangunan sekolah.
Katanya, cadangan itu membabitkan pembinaan lapan kubikel tandas iaitu empat untuk lelaki, tiga untuk perempuan dan satu kemudahan khas untuk orang kurang upaya (OKU).
“Tandas OKU ni pun sangat perlu sebab ada murid OKU di sini.
“Saya harap dapat disegerakan demi anak-anak dan kemudahan baharu itu dapat menampung keperluan mereka,” ujarnya.