Hampir ditidurkan akibat Influenza B, Amir Raja Lawak syukur dibenarkan pulang

Iklan
Amir meluahkan rasa syukur apabila dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa.

KOTA BHARU - Pelawak tanah air, Amir Raja Lawak atau Mohammad Amirullah Azmi, 37, meluahkan rasa syukur apabila dibenarkan pulang ke rumah pada Selasa selepas hampir ditidurkan akibat jangkitan Influenza B dan kuman pada paru-paru.

Sebelum itu, Amir Raja Lawak menjalani rawatan selama dua minggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas tahap kesihatannya merosot.

Iklan
Iklan

Amir menerusi perkongsian di media sosial pada Selasa memaklumkan, keadaannya kini semakin baik walaupun masih belum pulih sepenuhnya.

"Keadaan kesihatan saya mula merosot apabila mengalami demam berpanjangan sebelum diserang asma dan pemeriksaan X-ray mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-parunya.

Iklan

"Betul saya hampir ditidurkan sebenarnya, tetapi Umi saya beritahu doktor supaya jangan tidurkan dahulu dan minta berikan apa-apa ubat lain sebagai usaha supaya tidak perlu ditidurkan. Alhamdulillah, dengan kuasa ALLAH, saya kini dibenarkan pulang ke rumah walaupun masih belum 100 peratus sihat," katanya.

Menurut beliau, pengalaman berdepan Influenza B kali ini lebih mencabar berbanding ketika dia pernah disahkan positif Covid-19 sehingga memerlukan kemasukan ke hospital.

Iklan

Katanya, kesan jangkitan Covid-19 yang pernah dialami sebelum ini mungkin menjadi antara faktor keadaan kesihatannya kali ini lebih membimbangkan, ditambah pula dengan jangkitan kuman pada paru-paru.

"Seperti saya cakap sebelum ini, ia menyerang sendi dan dalaman. Allahuakbar, tidak sanggup hendak bayangkan apabila mengalami kahak berdarah, tidak cukup nafas, memakai mesin oksigen yang melekat kuat pada muka dan perlu dicucuk lagi," katanya.

Dalam pada itu, Amir memaklumkan dia masih perlu menjalani pemeriksaan susulan termasuk imbasan tomografi berkomputer (CT scan), pemeriksaan kesihatan dan X-ray.

Mengulas lanjut, Amir mengakui kejadian itu berlaku secara tiba-tiba dalam tempoh singkat sehingga dia tidak sempat menguruskan beberapa perkara berkaitan kedai yang diusahakannya.

Katanya, pada peringkat awal dia masih cuba menguruskan sedikit urusan perniagaan sebagai persediaan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot sehingga telefon bimbit terpaksa dipegang ahli keluarga.

"Kalau awak semua kata terkejut dengan berita tentang saya tempoh hari, saya sendiri yang alami ini lagi terkejut.

"Saya cuba bertenang pada awalnya dan ada juga cuba menguruskan sedikit hal kedai, tetapi akhirnya terus tidak boleh buat apa-apa," katanya.

Amir turut mengakui kesibukan bekerja sehingga tidak mendapat rehat dan tidur mencukupi mungkin antara perkara yang perlu diperbaikinya selepas melalui pengalaman berkenaan.

Menurutnya, kejadian itu memberi banyak pengajaran mengenai kepentingan menjaga kesihatan selain menyedari bahawa nikmat hidup dalam keadaan sihat tidak ternilai.

Sehubungan itu, dia mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menjaga kesihatan, khususnya mereka yang pernah dijangkiti Covid-19.

Amir turut merakamkan penghargaan kepada doktor, jururawat serta pembantu perawatan kesihatan (PPK) yang menjaganya sepanjang menerima rawatan selain berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhannya.

Dia berharap sokongan dan doa orang ramai dapat memberikan kekuatan untuk kembali pulih sepenuhnya serta menjalani kehidupan seperti sediakala.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan positif apabila tidak lagi memerlukan bantuan oksigen namun masih berdepan kesukaran berjalan akibat sesak nafas.

Amir berkata, dia masih belum mampu berjalan atau bercakap dalam tempoh lama kerana mudah semput meskipun sekadar melakukan pergerakan ringan.