KANGAR - Mahkamah Rendah Syariah Kangar pada Rabu melepaskan dan membebaskan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perlis, Yussaine Yahya daripada pertuduhan bersubahat berkaitan penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran pada 30 Mac 2023.
Hakim Yusof Abd Manaf dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie serta penglibatan langsung tertuduh berusia 47 tahun itu di akhir kes pendakwaan.
Iklan
Iklan
"Sehubungan dengan itu, selaras peruntukan Seksyen 96(f) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Perlis, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri serta wang jaminan dikembalikan kepada penjamin," katanya.
Yussaine yang juga Yang Dipertua Pas Kangar didakwa bersubahat dalam penganjuran program pengajaran agama Islam tanpa kebenaran bertulis Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip di sini pada 10.15 malam, 30 Mac 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 46 dibaca bersama subseksyen 33(2) Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara hingga enam bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pendakwa Syarie, Mohd Husni Za'im Mohd Said dan Mohd Dzuhaili Mohd Dzakwan, manakala Yussaine diwakili Peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad serta Nurul Farhana Ideris.- Bernama