Ugut tumbuk hingga pecah muka, lelaki didenda RM4,500

Iklan
Mohd Shamsuri didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas mengaku bersalah mengugut dan mencederakan seorang lelaki di Pulau Besar, Melaka.

MELAKA - Gara-gara mengugut mahu menumbuk mangsa sehingga pecah muka, seorang lelaki didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Tertuduh, Mohd Shamsuri Mohd Norman, 52, mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu melakukan ugutan jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki dalam kejadian di Pulau Besar, Ahad lalu.

Iklan
Iklan

Pengakuan itu dibuat selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa berusia 52 tahun dengan mengeluarkan kata-kata,"Kalau kau buat lagi, aku pukul kau, aku tak peduli siapa kau, aku boleh tumbuk pecah muka kau" dengan niat untuk menakutkan mangsa secara jenayah.

Iklan

Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar jam 3.30 petang di kawasan tepi laut, Pulau Besar.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi dan waktu sama.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi kesalahan ugutan jenayah yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, kejadian bermula apabila tertuduh datang menemui mangsa yang sedang berada di sebuah kedai makan sebelum membawanya ke kawasan tepi laut.

Tertuduh kemudian memegang bahagian kolar baju dan leher mangsa serta menolak muka mangsa beberapa kali.

Dalam kejadian sama, tertuduh turut mengeluarkan kata-kata ugutan berkenaan dengan niat menakutkan mangsa.

Mangsa kemudiannya membuat laporan polis sebelum mendapatkan pemeriksaan perubatan yang mengesahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian leher.

Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa yang didakwa mengganggu isteri tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan dan pekerjaan tetap selain menanggung orang tuanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara lapan bulan bagi kedua-dua pertuduhan.