SUNGAI SIPUT - Sungai Siput menjadi tuan rumah penganjuran acara kesedaran kanser, Relay For Life Malaysia 2026 Perak yang dijadualkan berlangsung di Tun Sambanthan Convention Centre di sini pada 29 November ini.
Program anjuran National Cancer Society Malaysia (NCSM) itu mendapat perkenan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim untuk berangkat menyempurnakan majlis perasmian pada jam 9.15 pagi.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Misrah Malaysia, Mohd Shaiful Anuar Ahmad Jalalludin berkata, keberangkatan baginda merupakan satu penghormatan besar selain menjadi pemangkin semangat keprihatinan masyarakat dalam usaha bersama memerangi kanser.
Menurutnya, Relay For Life merupakan program utama NCSM yang bukan sekadar aktiviti larian atau berjalan kaki, sebaliknya menjadi simbol solidariti dan sokongan kepada pesakit kanser serta keluarga mereka.
"Program ini membawa mesej keprihatinan masyarakat terhadap pesakit kanser selain memberi sokongan moral kepada mereka yang sedang berjuang menghadapi penyakit berkenaan.
"Ia juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser," katanya dalam sidang akhbar berhubung penganjuran program itu.
Beliau berkata, setakat ini hampir 2,000 peserta telah mendaftar bagi acara larian sejauh lima kilometer yang akan bermula pada jam 7.30 pagi.
Katanya, selain larian amal, program itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan oleh NCSM termasuk pemeriksaan mamogram serta perkhidmatan trak khas kanser payudara yang dibawa dari ibu pejabat pertubuhan berkenaan.
"Turut diadakan kempen derma darah dengan kerjasama Hospital Sungai Siput serta sesi temu duga pekerjaan secara terbuka bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya.