'Paksa serah gaji, buat pinjaman satu bentuk penderaan kewangan' - Hui Ying

Iklan
Hui Ying semasa sidang akhbar selepas Sambutan EVAW 2026 di Menara Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Dipaksa menyerahkan keseluruhan gaji kepada suami, membuat pinjaman atas nama sendiri sehingga terbeban dengan hutang serta dihalang mengakses akaun bank merupakan antara bentuk penderaan kewangan dalam rumah tangga.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, tidak semua wanita menyedari mereka menjadi mangsa penderaan kerana menganggap tindakan menyerahkan pendapatan kepada pasangan sebagai tanda kasih sayang atau tanggungjawab memenuhi keperluan keluarga.

Iklan
Iklan

“Namun, apabila kawalan itu berlaku secara paksaan sehingga wanita tidak mempunyai kebebasan membuat keputusan kewangan sendiri, ia merupakan satu bentuk penderaan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita (EVAW) 2026 di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Ruziah Shafei; Pengarah Bahagian Pengupayaan Wanita, Jabatan Pembangunan Wanita, Maisarah Hashim; wakil United Nations Population Fund (UNFPA) Malaysia, Dr Julitta Onabanjo dan Pemangku Pengarah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Universiti Islam Selangor, Ahmad Yani Ismail.

Iklan

Hui Ying (tengah) ketika menyempurnakan Majlis EVAW 2026 di Menara Kuala Lumpur di sini pada Rabu.

Sementara itu, semasa sidang akhbarnya, Hui Ying berkata, penguasaan sepenuhnya terhadap kewangan wanita oleh pasangan boleh menyebabkan golongan itu hilang kebebasan membuat keputusan bagi memenuhi keperluan diri dan anak-anak.

Iklan

Menurut beliau, keadaan itu turut menyukarkan mangsa mendapatkan bantuan terutama apabila mahu keluar daripada hubungan yang tidak selamat.

“Apabila wang digunakan untuk mengugut, memaksa atau mengawal seseorang, (maka) perbuatan itu juga merupakan satu bentuk keganasan.

“Meskipun penderaan kewangan mungkin kurang mendapat perhatian berbanding penderaan fizikal dan emosi, (namun) isu ini semakin menunjukkan trend peningkatan,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Hui Ying menyeru wanita yang berdepan penderaan kewangan supaya berani tampil mendapatkan bantuan meskipun tidak mengetahui langkah awal yang perlu diambil.

Mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapatkan bantuan melalui pihak polis, Talian Kasih 15999 atau agensi berkaitan.