CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan satu lagi tindakan undang-undang terhadap Google LLC (Google), menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan ganti rugi terhadap syarikat teknologi itu mencecah RM600 juta menerusi dua saman berasingan.
MCMC dalam kenyataan pada Rabu berkata, tindakan itu berhubung dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya dalam menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan di platform YouTube termasuk perjudian, scam dan penipuan.
“Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta yang merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.
“Tuntutan MCMC dalam kes ini adalah berasaskan pelbagai dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang, syarat lesen yang berkaitan serta kecuaian,” katanya.
Pada Selasa, media melaporkan MCMC memfailkan saman RM300 juta terhadap Google berhubung dakwaan kecuaian dalam menangani penerbitan semula kandungan YouTube oleh penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo.
Saman terhadap syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat itu difailkan pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Sitham & Associates.
Mengulas lanjut, MCMC menjelaskan, tuntutan ganti rugi itu bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar bagi menangani lebih 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan dakwaan kegagalan sistemik Google.
MCMC menjelaskan, tuntutan itu turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, selain memastikan Google dipertanggungjawabkan serta mencegah ketidakpatuhan sama daripada berulang.
MCMC memaklumkan, hampir keseluruhan laporan yang dikemukakan kepada YouTube sejak awal tahun ini membabitkan kandungan perjudian dalam talian.
“Dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober 2026, MCMC telah mengemukakan sebanyak 74,703 laporan kepada YouTube dengan 74,569 daripadanya (99.8 peratus) berkaitan perjudian dalam talian.
“Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian tersebut sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan daripada platform dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas,” ujarnya.
Menurut MCMC, sebanyak 1,468 laporan pula mengambil masa lebih 30 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 35 laporan mengambil masa melebihi 90 hari.
Katanya, statistik itu menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform berkenaan serta kelewatan dalam menanganinya.
MCMC menegaskan, semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing.
"Kedua-dua saman itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MCMC melindungi orang awam khususnya kanak-kanak daripada ancaman dalam talian, selain membendung penyebaran kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah," jelasnya.