Sekat laluan alternatif sindiket dadah, kawalan lapangan terbang seluruh negara diperketat

Iklan
Hussein (kiri) bertanyakan khabar pada Nor Ilyanie ketika menyerahkan replika cek insurans kelompok Koperasi PDRM di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Rabu.

TUMPAT - Polis akan memperketatkan kawalan lapangan terbang di seluruh negara bagi menutup ruang sindiket dadah yang dikesan cuba mencari laluan alternatif selepas kawalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipertingkatkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan tidak akan berdiam diri, sebaliknya sentiasa mencari ruang dan peluang baharu untuk meneruskan kegiatan penyeludupan dadah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan memperketat kawalan di KLIA sebelum ini menyebabkan sindiket beralih mencuba lapangan terbang lain termasuk di Pulau Pinang dan Perak.

"Kita ketatkan kawalan di KLIA, ada cubaan menggunakan lapangan terbang di Pulau Pinang dan Ipoh.

Iklan

"Jadi, kita percaya lapangan terbang lain juga akan menjadi sasaran sindiket ini," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum ini beliau menyampaikan penyerahan replika cek insurans kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada balu Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob iaitu Nor Ilyanie Abd Aziz di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor di sini.

Iklan

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media pada 3 November lalu melaporkan penyeludup dadah kini dipercayai beralih menggunakan lapangan terbang lain termasuk di Pulau Pinang dan Kota Bharu selepas menyedari penggunaan teknologi pengesanan lebih canggih di KLIA.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perubahan taktik itu menyebabkan kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di pintu masuk negara.

Hussein memberitahu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil dan akan melaksanakan beberapa tindakan jangka pendek, sederhana serta panjang bagi memastikan kawalan keselamatan di lapangan terbang lebih menyeluruh.

"Langkah itu penting bagi memastikan sindiket tidak mengambil kesempatan menggunakan lapangan terbang lain sebagai laluan alternatif untuk membawa masuk dadah ke negara ini," katanya.