Polis intip sindiket dadah guna aset tentera sejak Januari

Iklan
Hussein Omar Khan. Foto fail Bernama

TUMPAT - Polis mula mengesan kegiatan sindiket dadah yang dipercayai menggunakan aset tentera untuk membawa bahan terlarang ke Sabah sejak Januari lalu sebelum memperoleh maklumat kukuh berhubung kegiatan itu pada Julai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, risikan awal bermula susulan tangkapan besar-besaran di Sabah membabitkan rampasan enam kontena dari Pelabuhan Klang ke Teluk Sepanggar, Sabah pada Januari lalu.

Iklan
Iklan

"Hasil siasatan terhadap sindiket berkenaan membawa kepada penemuan maklumat mengenai penggunaan aset tentera bagi tujuan membawa dadah ke negeri itu.

"Pada Julai kita mendapat maklumat kukuh yang melibatkan penggunaan aset ini sebelum membuka kertas siasatan.

Iklan

"Sejak Januari kita sudah mula mendapatkan risikan dan pada Julai kita membuka kertas siasatan sebelum menjalankan risikan serta pemantauan sehingga berlakunya insiden terbaharu di Subang," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.

Sebelum ini beliau menyampaikan penyerahan replika cek insurans kelompok Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada balu Allayarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob iaitu Nor Ilyanie Abd Aziz di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor di sini.

Iklan

Hadir sama ialah, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Media sebelum itu melaporkan polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan menerusi operasi di Lembah Klang dan Labuan.

Dalam operasi itu, polis merampas 96.64 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine (syabu) bernilai RM4.83 juta serta 6.98 kilogram cecair bahan kimia.

Menurut beliau, polis masih menyiasat sama ada sindiket berkenaan pernah menggunakan aset tentera dalam kegiatan mereka sebelum insiden di Subang.

Hussein memberitahu, pihaknya memerlukan ruang untuk melengkapkan siasatan termasuk mengenal pasti berapa kali aset berkenaan digunakan oleh sindiket terbabit.

"Perkara itu masih dalam siasatan. Berapa kali mereka terbabit dan sama ada sebelum ini mereka pernah melakukannya, kita beri ruang kepada pihak polis untuk menyelesaikan siasatan.

"Mungkin Ketua Polis Negara sendiri akan mengadakan sidang akhbar untuk berkongsi hasil siasatan nanti," katanya.