Pemergian Pak Samad kehilangan besar kepada negara - Wan Azizah

Iklan
Wan Azizah turut hadir di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said merupakan satu kehilangan besar kepada negara susulan sumbangan dan jasa Allahyarham dalam bidang seni serta kesusasteraan tanah air.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Allahyarham bukan sahaja dikenali menerusi karya-karya agungnya, malah turut menjadi sumber kekuatan dan inspirasi kepada mereka ketika berdepan kesusahan, khususnya sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sokongan dan semangat yang diberikan Allahyarham ketika itu banyak membantu mereka untuk terus tabah memperjuangkan cita-cita serta keadilan.

"Beliau memberikan sokongan dan pertolongan ketika kami dalam kesusahan, terutamanya apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berada dalam penjara.

Iklan

"Beliau memberikan kami kekuatan dan semangat untuk terus membangun serta merealisasikan apa yang dicita-citakan, iaitu keadilan dan perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada Rabu.

Iklan

Jenazah Allahyarham sebelum itu disolatkan di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Urusan pengebumian Allahyarham kemudiannya selesai dijalankan kira-kira jam 10.55 pagi.

Dalam pada itu, hadir sama di tanah perkuburan berkenaan ialah veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, Presiden Persatuan OKU Sentral Datuk Ras Adiba Mohd Radzi serta tiga Sasterawan Negara iaitu Datuk Dr Anwar Ridhwan, Prof Datuk Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Dr Zurinah Hassan dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hazami Jahari.

Sementara itu, Wan Azizah berkata, keunikan Allahyarham dalam menyampaikan pemikiran dan perjuangan menerusi karya-karyanya menjadikan beliau seorang tokoh yang cukup istimewa serta menjadi inspirasi kepada mereka.

Bagaimanapun, katanya, legasi yang ditinggalkan Allahyarham menerusi karya-karya kesusasteraan akan terus diwarisi dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.

"Walaupun kita kehilangan beliau, legasinya tetap ada menerusi karya-karya yang ditinggalkan untuk diwarisi anak-anak muda.

"Jangan lupa, beliau merupakan antara Sasterawan Negara yang kita banggakan bersama," katanya.