IPOH - Usaha memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya di habitat semula jadi perlu disokong dengan peningkatan populasi pelbagai spesies haiwan mangsa dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber makanan.
Pengerusi Persatuan Taman-Taman Zoologikal dan Akuaria Malaysia (MAZPA), Dr Kevin Lazarus berkata, Harimau Malaya secara semula jadi memburu pelbagai spesies haiwan termasuk rusa, babi hutan dan kijang bergantung kepada ketersediaan sumber makanan di habitatnya.
Menurutnya, program pelepasan haiwan seperti rusa sambar di Taman Negeri Royal Belum dapat membantu meningkatkan populasi haiwan mangsa, sekali gus menambah sumber makanan Harimau Malaya di habitat semula jadi.
"Tidak semestinya babi hutan sahaja. Kalau ada haiwan yang boleh dilepaskan, ia boleh membantu menambah kepelbagaian sumber makanan harimau,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan empat ekor rusa sambar dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum bagi memperkukuh ekosistem hutan dan menyokong usaha pemuliharaan Harimau Malaya.
Inisiatif itu merupakan usaha berterusan kerajaan negeri Perak untuk memulihkan dan meningkatkan populasi haiwan mangsa yang menjadi sumber makanan Harimau Malaya di kompleks hutan Belum-Temengor.
Sejak 2021, sebanyak 30 ekor rusa sambar, dua ekor seladang dan 17 ekor babi hutan telah dilepaskan ke Taman Negeri Royal Belum menerusi program pemuliharaan berkenaan.
Mengulas lanjut, Kevin memberitahu, kepelbagaian spesies mangsa penting bagi memastikan Harimau Malaya mempunyai lebih banyak pilihan makanan, sekali gus menyokong kelangsungan hidup spesies terancam itu.
Menurut beliau, haiwan liar seperti babi hutan turut berdepan ancaman penyakit termasuk Demam Babi Afrika (ASF) yang mengakibatkan penyusutan populasinya.
“Wabak penyakit menyebabkan ada babi hutan yang mati dan jumlahnya berkurangan. Bagaimanapun, sekarang ia mula membiak semula.
“Dengan bantuan pelepasan seperti ini, ia boleh membantu meningkatkan kembali jumlah haiwan mangsa dalam hutan untuk harimau,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) lebih mengetahui kedudukan populasi spesies haiwan mangsa dalam ekosistem hutan di negeri ini.