MELAKA - Sepasang suami isteri tidak dapat menahan kerinduan merayu anak sulung mereka, Muhd Akmal Shahrul Ab Rahim, 28, yang hilang sejak tujuh tahun lalu supaya pulang ke pangkuan keluarga.
Ibunya, Asiah Basiron, 51, berkata, anaknya kali terakhir dilihat pada 3 Oktober 2019 ketika keluar dari rumah mereka di Pulau Gadong kira-kira jam 5 petang untuk ke tempat kerja di sebuah kilang solar di Tanjung Minyak.
Menurutnya, Akmal anak yang baik dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga namun mula menunjukkan perubahan sikap selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi Facebook menggunakan nama Puteri Nabila Puteri.
Bagaimanapun, selepas kira-kira dua bulan berkenalan, Asiah mendakwa anaknya sebenarnya berhubung dengan seorang lelaki warga emas yang dipercayai menyamar sebagai wanita berkenaan.
Katanya, lelaki itu turut memainkan beberapa watak termasuk sebagai bapa dan pembantu rumah kepada wanita berkenaan sehingga menyebabkan Akmal mempercayai hubungan tersebut.
"Pada mulanya dia beritahu saya ada teman wanita yang mahu berkenalan dengannya. Akmal sebelum ini tidak pernah bercinta, jadi saya tidak mengesyaki apa-apa.
"Lama-kelamaan dia berubah. Apabila keluar, dia beritahu mahu berjumpa Puteri, sedangkan individu yang ditemuinya dipercayai lelaki tua itu.
"Lelaki berkenaan juga pernah menghantar makanan ke tempat kerjanya dan Akmal memberitahu makanan itu diberikan oleh Puteri," katanya sewaktu ditemui dirumahnya di Pulau Gadong.
Lebih meruntun hati, Asiah berkata, pada hari kejadian, anaknya beberapa kali memeluk dan mencium pipinya sebelum keluar rumah seolah-olah mengetahui mereka tidak akan bertemu lagi.
Ibu kepada enam itu turut berasa pelik apabila Akmal yang sepatutnya bekerja syif pagi pada hari kejadian tiba-tiba memberitahu mahu masuk kerja pada sebelah petang.
"Dia peluk saya sampai tiga kali dan berpesan supaya saya peluknya kuat-kuat kerana katanya nanti tidak dapat berjumpa lagi.
"Saya pelik dengan perangainya hari itu, tetapi tidak menyangka itulah kali terakhir saya melihatnya," katanya.
Asiah berkata, suaminya, Ab Rahim Yaakob, 53, yang berasa curiga kemudian mengekori Akmal sebelum melihat anak mereka bertemu lelaki berkenaan di sebuah kedai di Tanjung Minyak.
Bagaimanapun katanya, suaminya gagal mengekori mereka selepas lelaki terbabit membawa Akmal pergi dengan menaiki motosikal.
Sejak itu, katanya, mereka tidak lagi menerima sebarang khabar berita mengenai anaknya walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk membuat laporan polis di Melaka serta ketika berada di Kuala Lumpur.
"Kami pernah menerima maklumat mengatakan Akmal berada di Taman Tenaga, Cheras, namun apabila kami pergi mencarinya, dia sudah tiada.
"Saya dan suami pernah pergi dari satu kedai ke satu kedai di sekitar Kuala Lumpur sambil menunjukkan gambarnya kepada orang ramai, tetapi usaha itu tidak berhasil," katanya.
Lebih menyedihkan, Asiah mendakwa pernah menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa melihat Akmal bersama lelaki berkenaan, malah anaknya dikatakan tidak banyak bercakap dan hanya menurut arahan lelaki terbabit.
Bagaimanapun, semua maklumat itu tidak dapat disahkan dan keluarga masih belum menemui sebarang petunjuk mengenai keberadaan Akmal.
Katanya, kehilangan Akmal semakin dirasai selepas anak keduanya yang berusia 27 tahun meninggal dunia Jun lalu, sekali gus menambah kesedihan keluarga.
"Akmal sangat rapat dengan adiknya. Ke mana-mana mereka pergi bersama dan Akmal juga banyak membantu keluarga termasuk membeli keperluan adiknya.
"Selepas adiknya meninggal dunia, saya semakin sedih kerana seorang anak sudah tiada, manakala seorang lagi masih tidak diketahui di mana," katanya.
Asiah yang masih yakin anaknya hidup turut merayu orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Akmal supaya menghubungi keluarga atau menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.
"Akmal, mama rindu sangat. Baliklah, Mal. Adik-adik semua rindukan Mal, ayah pun rindukan Mal. Ayah sekarang tidak sihat.
"Mama tidak kisah bagaimana keadaan Mal sekarang, mama cuma mahu Mal pulang. Mama masih tunggu Mal," katanya dalam nada sebak.
Sementara itu orang ramai yang mempunyai maklumat keberadaan Akmal boleh menghubungi Asiah ditalian 017-6226025.