TANGGA BATU – Pelantikan Timbalan Exco dalam pentadbiran kerajaan Melaka bukan perkara baharu, sebaliknya amalan yang telah dilaksanakan sejak penggal terdahulu bagi memperkukuh keberkesanan pentadbiran negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh berkata, pihak yang mempertikaikan pelantikan itu sepatutnya membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Pelantikan Timbalan Exco ini telah bermula sejak penggal dulu, (malah) kita tidak ada perbelanjaan besar, sama sahaja.
"Saya hendak beritahu kena buat kajian dahulu sebelum buat kenyataan," katanya ketika mengulas dakwaan beberapa pihak berhubung pelantikan terlalu ramai anggota Exco di Melaka yang merupakan sebuah negeri kecil dikhuatiri memberi implikasi kewangan besar kepada pentadbiran negeri.
Ab Rauf ditemui pada program Santunan Kasih Ketua Menteri Melaka bersama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar di sini pada Isnin.
Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang merangkap Exco Kesihatan dan Modal Insan, Datuk Lim Ban Hong.
Mengulas perbandingan jumlah anggota Exco antara Melaka dan Selangor, Ab Rauf berkata, setiap negeri mempunyai struktur pentadbiran tersendiri dan Melaka berkemampuan melaksanakan pelantikan berkenaan.
Menurutnya, pelantikan Timbalan Exco bertujuan membantu anggota Exco melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sekali gus memastikan rakyat menerima perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.
"Saya bertanggungjawab menguruskan negeri ini dan memastikan rakyat Melaka mendapat perkhidmatan kerajaan yang terbaik daripada struktur yang saya susunkan.
"Saya yakin Exco mempunyai pelbagai perancangan dan kesibukan, tetapi boleh dibantu oleh Timbalan Exco kerana mereka juga wakil rakyat," ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, mesyuarat Exco pertama minggu ini akan memberi tumpuan kepada sesi perkenalan serta perbincangan mengenai pelaksanaan janji manifesto bagi memastikan sasaran 100 hari pertama pentadbiran dapat dicapai.