IPOH - DAP Perak menyatakan sokongan berdiri teguh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk meneruskan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pada akhir tahun depan.
Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, pentadbiran negeri kini berada di landasan tepat memenuhi aspek kestabilan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Malah menurutnya, momentum pembangunan yang sedang dilaksanakan bersandar kepada tatakelola baik dan kepimpinan berintegriti yang menjadi antara faktor utama kejayaan pentadbiran ketika ini.
"Sekarang bukan masa untuk bermain politik. Selagi Menteri Besar melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan baik, kita akan berdiri teguh dan bersama beliau sehingga ke penghujung penggal.
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan tular bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Untuk rekod, DAP memenangi 18 daripada 59 kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak, dengan empat daripadanya dilantik menganggotai barisan Exco Kerajaan Negeri.
Pada November 2022, PH dan BN bersetuju membentuk kerajaan negeri Perak dengan sokongan 33 ADUN iaitu 24 PH dan 9 BN.
Mengulas lanjut, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, sejak kerajaan Perpaduan dibentuk di Perak, jumlah lebihan belanjawan yang direkodkan telah mencecah RM195 juta dengan rekod surplus bagi lima tahun berturut-turut.
Katanya, prestasi ekonomi negeri seperti dibentangkan dalam Belanjawan Negeri Perak 2027 mencatat pertumbuhan 5.7 peratus, peningkatan sektor pembuatan sebanyak 15.2 peratus serta kadar pengangguran rendah 3.5 peratus.
"Biar fakta bukan auta untuk bicara. Jangan biarkan prestasi kalah kepada persepsi.
"Prestasi ini membuktikan formula BN dan PH merupakan satu pilihan paling bijaksana demi menjaga kepentingan rakyat dan kemakmuran negeri," katanya.